SelangorToday

PAS Pilih Bulu Dalam Isu Integriti – Mahfuz

TAWAU, 28 Nov – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar mengecam PAS kerana didakwa mengamalkan sikap pilih bulu dalam isu integriti, susulan parti itu mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan ekoran siasatan terhadap bekas setiausaha politik kanan beliau.

Menurut Mahfuz, tindakan segera pegawai terbabit meletakkan jawatan dan penahanan oleh SPRM membuktikan proses semak dan imbang dalam Kerajaan Perpaduan berjalan tanpa campur tangan, malah menunjukkan komitmen Perdana Menteri terhadap ketelusan.

Namun, beliau mempersoalkan pendirian PAS yang didakwa diam seribu bahasa apabila kes melibatkan pentadbiran mereka sendiri berlaku.

Mahfuz menegaskan bahawa PAS tidak pernah mendesak Menteri Besar Kedah melepaskan jawatan walaupun bekas CEO MBI Kedah telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah berhubung isu REE. Begitu juga kes membabitkan anak Menteri Besar Perlis yang juga menantu Presiden PAS, yang menurutnya langsung tidak mengundang reaksi tegas daripada parti itu.

“Bila kena pada orang lain, PAS jadi malaikat. Bila kena pada geng sendiri, terus jadi bisu,” kata Mahfuz menyindir.

Beliau menyifatkan seruan PAS agar Perdana Menteri meletakkan jawatan sebagai langkah bermotif politik, khususnya dalam suasana pilihan raya Sabah, bukannya atas prinsip integriti yang konsisten.

Mahfuz menegaskan bahawa integriti tidak boleh bergantung kepada “warna jubah atau serban”, dan PAS wajar membersihkan rumah sendiri sebelum membuat serangan terhadap pihak lain.

Beliau turut mengulangi komitmen Kerajaan Perpaduan bahawa semua siasatan dijalankan tanpa sebarang campur tangan, dengan tindakan tegas Perdana Menteri terhadap pegawai beliau sebagai bukti jelas.

“Jika benar PAS pejuang integriti, buktikan dengan tindakan — bukan pilih bulu,” tegasnya.

Exit mobile version