Pilihan Raya Kecil yang diadakan hampir setiap bulan sejak Malaysia MADANI memerintah memaparkan gelagat pemimpin pembangkang yang kerap memutarbelitkan serangan mereka. Walaupun mereka ternyata gagal menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, usaha mereka untuk memperlekehkan kerajaan hari ini menjadi-jadi.
Paling kurang PN yang dianggotai oleh PAS, BERSATU dan GERAKAN serta satu parti berteraskan kaum india itu mahu mencipta persepsi bahawa kerajaan MADANI tidak mendapat sokongan rakyat dengan mengalah calon kerajaan dalam setiap PRK yang berlangsung. Setiap kali PRK, mereka mencandukan ahli-ahli dan rakyat Malaysia bahawa kemenangan calon PN akan mengubah kerajaan persekutuan. Jika belum tumbang, ia sebagai referendum rakyat menolak kerajaan MADANI.
Sedangkan meskipun PAS berjaya memenangi beberapa kerusi dalam PRK sebelum ini, jumlah kerusi yang dimenangi calon kerajaan lebih banyak daripada kerusi PAS/PN yang menang. Tambahan lagi, tiada satu pun kerusi yang bertukar tangan apabila PRK diadakan, kesemuanya kekal dimenangi oleh parti penyandang. Amat memalukan apabila alasan kekalahan dalam hanya beberapa PRK dikatakan sebagai penolakan kepada pemerintahan Pengerusi HARAPAN itu berbanding jumlah yang menang lebih banyak dan besar.
Namun itu semua strategi pembangkang demi melipat gandakan undian kepada mereka. Satu serangan yang paling gemar dimainkan selain perubahan kerajaan adalah keberadaan DAP dalam kerajaan. PAS mengajak DAP untuk turun berkempen di DUN Nenggiri memandangkan DAP bersama BN dalam kerajaan. Sedangkan telah dibincangkan berdasarkan kerusi yang ditandingi serta demografi kerusi tersebut tidak memerlukan DAP malahan MCA dan MIC sekali pun untuk turun berkempen disana. Bukan soal DAP akan menjadi punca Nenggiri akan menolak BN, tetapi atas sebab apa DAP perlu turun ke sana?
Jika menyatakan HARAPAN yang adanya DAP menjadi liabiliti kepada BN dan dilarang turun berkempen, jelas kita dapat lihat sejak penamaan calon sehingga minggu terakhir kempen, HARAPAN yang adanya AMANAH dan KEADILAN turun menyantuni rakyat mengikut kelompok yang disasarkan. Hal ini kerana, AMANAH dan KEADILAN ada kelompok yang disasarkan berbanding DAP yang jumlah kelompok sasarannya sangat minima.
Kedua, PAS mahu menawan hati pengundi Nenggiri dengan menyatakan kewujudan DAP dalam politik Malaysia. Rakyat katanya diseru menolak BN kerana bersama DAP. Apakah sebab PAS meratib nama DAP sedangkan DAP tidak bertanding di Nenggiri? Sudah tidak ada kejayaan dan wawasankah yang dibawa oleh PAS sehingga terpaksa menjaja nama DAP dalam kempen mereka? Atau, PAS menyedari bahawa mereka tidak akan menang jika tidak meratib nama DAP?
Membina naratif BN perlu ditolak oleh rakyat Kelantan kerana BN dan DAP dalam satu kerajaan memperlihatkan kelemahan politik PAS sejak MADANI memerintah. Sedangkan PAS dan BERSATU sendiri pernah bersama DAP dalam siri PRU 2013 dan 2018. Adakah pada 2008, PAS yang memerintah Kedah, Selangor dan Perak menjadi pak angguk kepada DAP? Atau waktu orang lain bersama DAP sahaja DAP menjadi abang besar, tetapi ketika PAS bersama DAP, PAS tidak tunduk pada DAP sedangkan jumlah kerusi DAP jelas lebih banyak daripada PAS?
Inilah kependekan akal pimpinan parti berteraskan Islam ini dalam soal bermain naratif. Naratif mereka hanyalah demi mengekalkan rakyat dalam kejahilan agar semua fakta mudah dimanipulasi, sebaliknya usaha untuk mencelikkan rakyat dan membangunkan rakyat ditolak ketepi.
PAS dilihat tidak mempunyai kekuatan tersendiri apabila DAP tidak turut bertempur. Ironinya PAS umpama parti yang kuat dan gagah apabila hanya mampu menyerang DAP sedangkan tiada sebarang idea dan wawasan baru yang digagaskan oleh mereka memimpin empat buah negeri demi melihat rakyat membangun.