
Prihatin terhadap nasib mangsa banjir di Padang Jawa, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Hj Azli Yusof segera meluangkan masa turun padang bagi meninjau keadaan pasca banjir dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
“Selesai urusan di PRK Ayer Kuning pagi tadi, saya bergegas pulang ke Shah Alam. Namun, hati saya tidak tenteram selagi belum melihat sendiri keadaan mangsa banjir di Padang Jawa,” ujar beliau.

Menurut YB Hj Azli, ramai penduduk terkesan dengan banjir, kehilangan harta benda serta memerlukan sokongan segera untuk meneruskan kehidupan. Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyantuni mangsa yang sedang membersihkan rumah, selain mengagihkan bungkusan makanan tengah hari yang disediakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, diketuai oleh Saudara Muammar Qazafi.
“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan kesulitan mereka buat sementara waktu sehingga dapat kembali menguruskan keperluan keluarga seperti biasa,” tambah beliau.
Beliau turut berkongsi bahawa pada petang sebelumnya, beliau ke dapur penyediaan makanan bagi memberi sokongan moral kepada petugas yang menyediakan makanan untuk dihantar ke PPS dan kediaman mangsa.

Dalam perkembangan sama, YB Hj Azli turut meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Seksyen 16 untuk bertemu keluarga mangsa serta menyemak urusan penempatan. Ketika kunjungan tersebut, beliau disertai oleh Ahli Dewan Negeri Bandar, YB Danial Al Rashid.
Memandangkan ramai mangsa banjir dari Kampung Padang Jawa memerlukan tempat perlindungan, dua lagi PPS telah dibuka di SMK Seksyen 16 dan SRS Padang Jawa. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tok Penghulu Hassan, Pejabat Daerah Petaling, Pejabat Daerah Klang, serta para guru yang memainkan peranan penting sehingga pasukan JKM mengambil alih tugas sepenuhnya.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penghantar makanan dari aktivis Amanah dan Arief Shah Alam yang pantas membantu di lapangan,” katanya lagi.
Tindakan pantas dan kehadiran Hj Azli Yusof di lokasi bencana mencerminkan komitmen beliau sebagai wakil rakyat yang sentiasa dekat dengan denyut nadi masyarakat.