27 November 2021 yang lalu, AMANAH Negeri Selangor telah menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah organisasi berdaftar dibawah ROS dengan mengadakan konvensyen tahunannya dalam norma baharu. Meskipun hanya Jawatankuasa Pengurusan AMANAH Negeri sahaja yang berkumpul di Pejabat AMANAH Selangor, manakala para perwakilan hanya menyertai konvensyen ini secara dalam talian ia tetap bermakna buat perwakilan AMANAH Selangor.
Kaedah baru ini turut dilaksanakan oleh AMANAH negeri-negeri lain termasuk Terengganu dan Wilayah Persekutuan. Biarpun kaedah ini telah menghadkan warna-warni konvensyen akibat penglibatan fizikal yang terhad, akan tetapi ia tetap panas dan berbisa apabila PH gagal mempertahankan kerusi-kerusi yang mereka menang ketika PRU ke-14 semasa PRN Melaka diadakan baru-baru ini.
Penulis merasakan faktor kekalahan di Melaka serta kelesuan politik di seluruh negara telah mendorong Pengerusi AMANAH Selangor, Ir. Hj Izham Hashim bersama pasukannya meletakkan ‘Sepakat Pertahan Mandat Rakyat’ sebagai tema ucaptama beliau di konvensyen tersebut. Selangor sebagai negeri yang telah dipimpin oleh PH ataupun PR sebelum ini wajar dipertahankan walau ada yang cuba meruntuhkannya secara pintu belakang mahupun melalui pilihan raya.
Tempoh lebih 10 tahun PH menjadi kerajaan Selangor telah memaksa PH untuk memuhasabah diri bagaimana mahu memastikan PH kekal memerintah. Tambahan pula, corak politik negara telah berubah sejak Langkah Sheraton berlaku sebagai episod hitam politik negara serta pelaksanaan undi 18. Maka wajarlah PH memulakan proses memulihkan imej serta pendekatan mereka dari sekarang.
Apa yang disampaikan oleh Pengerusi AMANAH Selangor semasa ucaptamanya ialah dengan mengekalkan kesepakatan dalam PH ia mampu memberi manfaat yang banyak kepada rakyat, lihat di peringkat persekutuan, PH bersama pembangkang lain berjaya memperoleh 108 kerusi yang pastinya mampu menekan pembaziran dan ketirisan yang dilakukan oleh kerajaan BN-PN. Kecelaruan BN-PN berpolitik mengakibatkan DUN Sabah terpaksa dibubarkan dan kesannya gelombang pandemik Covid-19 naik semula sehingga menyebabkan PKP terpaksa dilaksanakan dan rakyat terus gagal mendapat pendapatan.
Diperingkat negeri pula, kesepakatan PH telah mengukuh dan berjaya berdiri sebagai kerajaan yang stabil, natijahnya pelbagai inisiatif membantu rakyat pasca pandemik dapat dilaksanakan. Pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan PH di Selangor seperti Iltizam Anak Selangor, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan Selangor Digital School (SDS). Inisiatif ini mampu dijana dan diberikan manfaatnya kepada rakyat kerana adanya kestabilan di antara parti-parti dalam PH.
Selain itu, Ir. Izham juga mengingatkan pada AMANAH sebagai parti paling muda dalam PH untuk melakukan penjenamaan setelah imej AMANAH dan PH tercalar akibat aktiviti lompat-melompat ahli-ahli politik. Saranan itu disambut oleh Sdr. Danial Harun Al- Rashid selaku Ketua Pemuda AMANAH Selangor ketika ucapan penggulunganya.
Kata Sdr. Danial, AMANAH perlu sebuah nilai unik untuk menarik minat khususnya pengundi muda untuk menyokong AMANAH. Meumpamakan sebuah syarikat kereta, perlu mengeluarkan kereta yang lebih unik dan menarik bagi mendahului pesaing-pesaingnya. Begitulah AMANAH, sebagai parti politik di Malaysia, ia perlu melakukan penjenamaan dan pendekatan yang lebih unik dan menarik supaya mereka kekal relevan dalam politik Malaysia. Kegagalan AMANAH untuk diwajahkan lebih unik akan mengurangkan sokongan pengundi 18 tahun disamping mengekalkan kelesuan politik masyarakat. Natijahnya, BN sebagai hagemoni besar yang pernah memerintah dan menguasai segala sendi sistem negara akan memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.
Dalam memastikan AMANAH kekal relevan dalam PRU akan datang, Ketua WARDA AMANAH Selangor, Sdri. Siti Nur Aishah Binti Mohd Zain menegaskan bahawa pimpinan AMANAH perlu mendengar rintihan ahli akar umbi dan mengambil pandangan mereka dalam menentukan hala tuju parti. Kata beliau, ia penting kerana akar umbi lebih dekat dengan rakyat biasa, pastinya pandangan itu disuarakan bagi membolehkan AMANAH memenangi hati rakyat biasa. Mengekalkan kesepaduan dalam AMANAH serta PH menjadi seruan sejak awal konvensyen diadakan, Sdri. Siti Nur Aishah berpandangan, kaedah komunikasi yang berkesan perlu dilaksanakan, kini bukan lagi amalan komunikasi dari atas kebawah, yang lebih penting ialah komunikasi dari bawah keatas, agar keputusan yang dijana benar-benar memberi kesan yang baik.
Usaha menjuarai isu-isu masyarakat adalah salah satu strategi memenangi hati rakyat. Ketika membuat penggulungan di Konvensyen AMANAH Selangor, Ketua AWAN Selangor, Puan Rawiyah Zakaria telah mengajak semua ahli AMANAH untuk menyokong kempen ‘Jinggakan Dunia’. Kempen ini memfokuskan kepada usaha pencegahan keganasan terhadap wanita yang pastinya memberi impak kepada keluarga dan masyarakat. AWAN Selangor menyeru agar hak-hak wanita diperlihara dan dipelopori oleh pimpinan AMANAH sendiri memandangkan prinsip parti AMANAH adalah ‘peduli’ kepada semua golongan masyarakat. Kesaksamaan gender harus dipertahankan oleh pimpinan AMANAH Selangor dengan itu usaha mendekati masayarakat dipermudahkan.
Harapan penulis, agar konvensyen ini menjadi medan muhasabah yang benar-benar menginsafi pimpinan AMANAH dan PH. Ironinya, jika PH gagal bersepakat, rakyat akan terus dalam kesusahan dengan naiknya BN-PN sebagai kerajaan. Kekalahan BN dalam PRU yang lalu gagal menginsafikan mereka, janganlah pula PH tidak berupaya mengambil ibrah dari kejatuhannya pasca Langkah Sheraton.
Oleh
Cikgu Syazmir HN