Pavilion Selangor menerima lebih 50,000 pengunjung sepanjang 11 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2022 berlangsung.
EXCO industri asas tani berkata pavilion negeri yang ditempatkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) dari 4 Ogos hingga semalam turut merekodkan nilai jualan berjumlah RM250,000.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan hadir ke Pavilion Selangor pada 9 Ogos.
“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kassim turut mengunjungi ruang ini pada hari sama,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.
Selain itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta menteri kabinet dan timbalan menteri berkait sektor pertanian turut melawat lokasi terbabit.
“Pavilion Selangor sempena MAHA pada tahun ini antara tempat yang popular dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Selangor muncul naib juara dalam acara pavilion negeri terbaik sempena MAHA 2022 yang melabuhkan tirai semalam. Johan dimenangi Pavilion Perak manakala ketiga Pavilion Kedah.
Pavilion Selangor mengetengahkan projek yang bertepatan dengan tema Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.
MAHA 2022 merupakan pameran pertanian terbesar yang menghimpunkan 1,500 gerai pempamer. Sebanyak lapan laman disediakan antaranya pertanian dan penternakan selain menampilkan 22 segmen dengan tarikan tersendiri.
Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee memaklumkan MAHA 2022 menerima kunjungan paling ramai iaitu lebih 1.4 juta, manakala hasil jualan menjangkau RM260 juta