Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan lebih ramai pegawai agensi itu di pintu masuk utama negara Kuala Lumpur dan Johor pada masa akan datang mengikut keperluan bagi menambah kekuatan petugas sekali gus mengurangkan kesesakan di lokasi terbabit.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai permulaan, seramai 100 pegawai yang menamatkan latihan hari ini akan ditugaskan di lokasi strategik iaitu Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor manakala 100 orang lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2.
“Selain pasukan respons pantas yang kita tubuhkan secara ad hoc sebelum ini, saya optimis penugasan mereka juga meredakan isu kesesakan di pintu masuk,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas, Tinggi dan Pengurusan Keimigresenan Siri 1 Tahun 2023 di Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di sini.
Kesemua pegawai terbabit adalah sebahagian daripada 222 orang yang menamatkan latihan itu dan bakinya akan ditempatkan di Bahagian Keselamatan dan Pasport Putrajaya, AIM serta JIM Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sarawak.
Beliau juga berkata JIM telah menyumbang RM5.2 bilion kepada kutipan hasil negara pada 2022 termasuk melalui perkhidmatan agensi itu, kutipan hasil levi dan program seperti Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Katanya sepanjang tempoh 1 Jan hingga 18 Mei lepas, JIM telah melaksanakan sebanyak 3,147 operasi penguatkuasaan yang menyaksikan 35,387 individu diperiksa dan 21,125 pendatang tanpa izin ditahan.