SelangorToday

Peguam Sekolahkan Ketua Pemuda PAS Isu Titah Addendum

KUALA LUMPUR: Seorang peguam, Dr Zulqarnain Lukman, tampil membidas kenyataan Ketua Pemuda PAS yang mempersoalkan integriti Peguam Negara berkaitan dakwaan kononnya Titah Addendum telah disembunyikan daripada mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menurut Dr Zulqarnain, isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda PAS itu sebenarnya telah pun diperjelaskan secara terperinci oleh Hakim Alice Yoke dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, khususnya berhubung kedudukan sebenar Titah Addendum berkenaan.

“Titah Addendum itu datang kemudian. Nama pun addendum, yang dalam istilah undang-undang dan amalan pentadbiran bermaksud tambahan atau supplementary,” jelas beliau dalam kenyataan medianya.

Beliau mengumpamakan situasi tersebut seperti perbahasan Belanjawan di Parlimen, di mana supplementary budget hanya dibentangkan apabila peruntukan asal tidak mencukupi dan memerlukan Rang Undang-Undang baharu.

“Persoalannya, bagaimana Titah Addendum yang muncul selepas itu hendak dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang telah pun selesai?” soal beliau.

Tambahnya, sekiranya Titah Addendum ingin dibawa ke pertimbangan Lembaga Pengampunan yang baharu, maka permohonan baharu perlu dikemukakan kerana Pengerusi Lembaga Pengampunan pada ketika itu sudah melibatkan Yang di-Pertuan Agong yang berbeza.

Dr Zulqarnain turut menegaskan bahawa tuduhan terhadap integriti Peguam Negara bukanlah isu baharu dan telah pun dibincangkan serta diputuskan dalam kes THE ATTORNEY GENERAL OF MALAYSIA v. DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK & ANOTHER APPEAL [2025] 6 MLRA 155.

“Isu integriti Peguam Negara sudah dijawab melalui penghakiman mahkamah. Maka eloklah alasan penghakiman penuh dibaca terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang serius sebegini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pimpinan parti politik supaya lebih berhemah ketika mengeluarkan kenyataan rasmi, apatah lagi mewakili sebuah parti yang mempunyai 43 Ahli Parlimen.
“Ini soal fakta dan undang-undang, bukan sekadar boleh menabur peluru retorik seperti dalam Dewan Rakyat,” tegasnya.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi menimbulkan persoalan terhadap integriti Peguam Negara, khususnya berhubung dakwaan pengakuan kewujudan Titah Addendum di peringkat Mahkamah Persekutuan serta kegagalannya dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Dakwaan itu kini dijawab secara langsung oleh Dr Zulqarnain dengan merujuk kepada prinsip undang-undang dan penghakiman mahkamah yang sedia ada.

Exit mobile version