SelangorToday

PEKA KEBERADAAN ANAK DALAM PERJALANAN PULANG BERHARI RAYA, PESAN ANFAAL

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mengingatkan masyarakat yang pulang ke kampung untuk terus peka tentang keberadaan anak mereka sepanjang perjalanan. Kata Anfaal, meskipun sibuk untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, namun keselamatan merupakan keutamaan khususnya pada anak-anak. Beliau mengingatkan ibubapa untuk tidak membiarkan anak mereka tanpa pengawasan apatah lagi meninggalkan mereka didalam kenderaan sama ada enjin dihidupkan atau dimatikan.

Timbalan Ketua Wanita AMANAH itu menambah, kanak-kanak yang ditinggalkan didalam kenderaan di bawah terik matahari berisiko mengalami ‘strok haba’. Risiko ‘strok haba’ yang membawa kepada kematian lebih terdedah kepada kanak-kanak memandangkan suhu badan mereka meningkat tiga kali lebih pantas berbanding orang dewasa. Maka Anfaal menggalakan 5 langkah mudah untuk diamalkan sebelum meninggalkan kenderaan bagi memastikan ‘lupa keberadaan anak’ tidak berlaku.

Pertama memasang kerusi keselamatan kanak-kanak dibahagian kiri penumpang belakang. Seterusnya meletakkan mainan lembut seperti ‘plush toy’ di ‘dashboard’ sebagai tanda anak anda berada dibelakang. Ketiga, meletakkan barangan peribadi berhampiran kerusi keselamatan kanak-kanak sebagai peringatan sebelum keluar kereta. Selain itu, berikan perhatian sepenuhnya sebelum keluar kereta dan akhir sekali, tetapkan peringatan dalam telefon bimbit untuk mengingatkan anda. ADN Taman Templer itu mengingatkan masyarakat agar sentiasa berbelanja dengan cermat dan sentiasa pastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat. – SelangorToday

Exit mobile version