SelangorToday

PELARASAN GAJI BARU : PENGIKTIRAFAN KERAJAAN KEPADA KOMITMEN PENJAWAT AWAM

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyatakan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri terkait perlarasan gaji baru penjawat awam sebagai satu pengiktirafan kerajaan MADANI kepada penjawat awam yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan terbaik. Hal ini memandangkan penjawat awam tidak pernah menerima kenaikan gaji yang ketara sejak 2013. Seterusnya beliau berkata, kenaikan sehingga 15% bagi kumpulan pelaksana dan 7% bagi kenaikan gaji untuk kumpulan jawatan tertinggi merupakan satu kenaikan yang munasabah untuk mengimbangi bebas kos sara hidup yang semakin meningkat. Pastinya pengumuman yang sangat dinantikan-nantikan itu menerima sambutan positif dari masyarakat.

Hj Azli yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat menyatakan, dengan kesediaan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, sudah tentu ia menuntut kepada penambahbaikan dan komitmen yang lebih daripada penjawat awam. Dalam masa yang sama, beberapa perkara perlu diteliti seperti kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan kesan daripada pelarasan ini. Untuk makluman, pelarasan gaji penjawat awam fasa satu yang akan bermula 1 Disember ini melibatkan kos sebanyak RM3.3 bilion. Manakala pelarasan gaji bagi fasa dua kelak dijangka januari 2026 melibatkan kos tambahan sebanyak RM10 bilion. Oleh itu, dimana kerajaan akan mencari dana untuk menampung kos tersebut?

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berpendapat, pertamanya kerajaan mungkin menampung kos tersebut melalui penjimatan pelarasan subsidi diesel dan pelarasan subsidi lain pada masa-masa akan datang. Namun, Hj Azli melihat penjimatan daripada penjawat awam itu sendiri melalui komitmen dan juga perkhidmatan yang lebih baik lebih sesuai. Jelasnya, produktiviti perkhidmatan awam perlu ditingkatkan melalui kerja yang lebih efektif dan juga efisien. Misalnya, kerja yang sebelum ini dilakukan oleh 10 orang boleh dikurangkan menjadi 9 orang sahaja. Bererti peningkatan produktiviti penjawat awam naik 10% boleh mengimbangi 10% kenaikan kos akibat pelarasan gaji baru.

Kedua kerajaan akan menerima penjimatan sekiranya aspek integriti di kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan melalui pengurusan dana dan perolehan yang lebih cekap. Ia juga diperoleh melalui pencegahan terhadap salah guna kuasa serta penjimatan melalui pengurusan projek dan kontrak. Maka Hj Azli yakin apabila kerajaan MADANI bersetuju untuk melakukan pelarasan gaji baru, ia harus diiringi dengan peningkatan produktiviti, integriti dan juga komitmen penjawat awam memastikan wang kerajaan dibelanjakan dengan sehabis baik. – SelangorToday

Exit mobile version