Site icon SelangorToday

PELARASAN GAJI BARU PENJAWAT AWAM FASA 1 BERMULA 1 DISEMBER INI

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji penjawat awam akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sahaja dengan mengambil kira kedudukan ekonomi negara yang mencabar.

Jelasnya, pelarasan gaji itu adalah sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi. 

“Bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, pelarasan gaji adalah sebanyak 8 peratus pada Fasa 1 dan 7 peratus pada Fasa 2. Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) pelarasan gaji adalah 4 peratus bagi Fasa 1 dan 3 peratus bagi Fasa 2,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidatan Awam ke-19 (MAPPA), di sini.

Jelasnya lagi seperti yang penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.

Dalam aspek mengoptima sumber dan peningkatan produktiviti, kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara.

Anwar berkata, seiring dengan peningkatan syarat lantikan tersebut, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan.

Perkara itu akan menggalakkan penugasan berbilang dan kemahiran berbilang dalam kalangan pegawai sebagai pulangan kepada Kerajaan dan penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam dapat dioptimakan.

“Skim perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain. Kita warisi dah 60 tahun kadang-kadang jabatan yang sudah tidak releven kita kekalkan juga.

“Agensi-agensi yang puluhan kita samakan sebagai contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek selain daripada tv itu masih dikekalkan dalam jawatan. Jadi hal ini harus diseragamkan bukan maknanya ditiadakan petugas sedia ada tetapi supaya tidak ada pembaziran,” kata Perdana Menteri lagi.

Katanya, kerajaan juga akan menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam.

Syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan pula akan dipinda bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa. -Berita RTM

Exit mobile version