SHAH ALAM, 28 Nov — Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan bahawa pelepasan air di Empangan Tasik Subang sedang dilaksanakan secara terkawal susulan peningkatan mendadak paras air ekoran hujan luar biasa sejak 24 November 2025.
Menurut kenyataan media Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, YB Dato’ Ir Izham Hashim, kapasiti empangan meningkat daripada 79.83% (37.38m) kepada 95.12% (38.09m) pada pagi 25 November 2025, sebelum mencecah paras limpahan 38.57m pada 27 November 2025.
Hujan berterusan yang dikaitkan dengan Ribut Tropika Senyar, dengan jumlah sekitar 110mm, menyebabkan paras air meningkat lagi kepada 38.66m pada jam 1 pagi, 28 November 2025.
Bagi memastikan keselamatan struktur empangan, pelepasan air dilakukan mengikut prosedur Pelan Tindakan Kecemasan serta garis panduan Malaysia Dam Safety Management (MyDAMS).
LUAS dan Air Selangor kini membuat pemantauan rapi dan mengesahkan situasi adalah terkawal.
Orang ramai dinasihatkan merujuk maklumat sahih melalui laman sesawang www.iwrims.luas.gov.my, atau menyalurkan pertanyaan melalui email [email protected] dan Whatsapp 019-264 7904, bagi mengelakkan kekeliruan mengenai status Empangan Tasik Subang dan empangan lain di Selangor.