Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Harun melihat usaha kerajaan MADANI dalam menangani dan meringankan beban hidup rakyat mula berhasil. Katanya, meskipun kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, berjaya mengurangkan beban hutang negara dari tahun ke tahun, namun usaha kerajaan membantu golongan terjejas khususnya anak muda jelas kelihatan dan memberi impak kepada kehidupan mereka.
Semalam, Anwar dan Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengumumkan kejayaan kerajaan melepaskan 142,510 orang daripada status muflis. Pengumuman itu dilakukan dalam majlis Sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Negara.
Jelas Danial yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga, usaha ini benar-benar memberi impak yang signifikan kepada rakyat Malaysia terutamanya anak muda yang terperangkap dengan masalah kewangan. Ia juga memberikan peluang kedua kepada anak muda untuk memulakan langkah baru dengan mengambil pengajaran kepada masalah lalu. Pentingnya usaha kerajaan ini memandangkan anak muda yang diisytiharkan muflis mengalami cabaran yang sangat besar kerana mereka juga sedang membina keluarga dan kehidupan. Justeru usaha kerajaan bukan sekadar melepaskan mereka daripada belengu masalah ini, namun membantu mereka membina keluarga yang kondusif dan sejahtera.
Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu turut berkata, nilai ihsan yang dibawa dalam kerajaan MADANI berjaya diterjemahkan secara tindakan kerajaan melalui pelepasan status muflis ini. Nilai yang dianggap semakin ketinggalan akibat kemajuan material, kembali diperkasakan dalam pemerintahan kerajaan perpaduan. Secara tidak langsung ia mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara madani dan ekonomi negara yang mampan. – SelangorToday