Isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol terus menjadi ancaman serius kepada keselamatan awam di Malaysia. Kes-kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk bukan lagi insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan satu masalah sistemik yang menuntut pendekatan menyeluruh merangkumi aspek undang-undang, penguatkuasaan, serta perubahan budaya masyarakat.
Dari sudut perundangan, Malaysia telah mempunyai kerangka yang jelas melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dipinda pada tahun 2020. Pindaan ini memperketat hukuman terhadap pesalah pemandu mabuk, termasuk denda yang tinggi, hukuman penjara, serta penggantungan lesen memandu.
Ini menunjukkan bahawa undang-undang negara memandang serius perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol sebagai satu bentuk ancaman kepada keselamatan awam.
Namun, realiti undang-undang tidak terhenti pada aspek jenayah semata-mata. Perbuatan pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan sebenarnya mempunyai dua dimensi tanggungjawab undang-undang, iaitu jenayah (criminal liability) dan tort kecuaian (civil liability in negligence).

Dari sudut jenayah, pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh didakwa dan dihukum oleh negara. Jika perbuatannya menyebabkan kecederaan atau kematian, kesalahan tersebut menjadi lebih serius dan boleh membawa kepada hukuman penjara yang berat serta denda yang tinggi.
Tujuan utama tindakan jenayah ini adalah untuk menghukum pesalah, melindungi masyarakat, dan memberikan pengajaran kepada orang ramai agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
Pada masa yang sama, dari sudut undang-undang tort akibat kecuaian (negligence), mangsa atau waris mangsa mempunyai hak untuk mengambil tindakan sivil terhadap pemandu tersebut.
Dalam undang-undang tort, setiap pemandu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap pengguna jalan raya yang lain. Memandu dalam keadaan mabuk jelas merupakan satu pelanggaran terhadap kewajipan ini (breach of duty), dan jika ia mengakibatkan kecederaan, kematian atau kerugian, maka pesalah boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar pampasan (damages) kepada mangsa.
Pampasan ini boleh meliputi:
• Kos rawatan perubatan
• Kehilangan pendapatan
• Kesakitan dan penderitaan
• Pampasan kepada waris dalam kes kematian
Pendekatan dua serampang ini jenayah dan tort menunjukkan bahawa undang-undang bukan sahaja bertujuan menghukum, tetapi juga memastikan keadilan kepada mangsa melalui pemulihan kerugian.
Jika dibandingkan dengan negara-negara Barat seperti United Kingdom dan Australia, pendekatan mereka juga menggabungkan kedua-dua aspek ini secara tegas.
Selain hukuman jenayah yang berat, tuntutan sivil terhadap pesalah sering kali melibatkan pampasan yang besar, menjadikan risiko kewangan sebagai satu faktor pencegah yang signifikan.
Dalam konteks Malaysia, cabaran ini tidak hanya bersifat perundangan, tetapi juga berkait rapat dengan dimensi budaya dan nilai masyarakat. Sebagai sebuah negara yang berteraskan nilai agama dan moral, perbuatan membahayakan nyawa orang lain melalui pemanduan mabuk jelas bertentangan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat. Dalam kerangka Islam, prinsip memelihara nyawa merupakan salah satu objektif utama syariah yang menuntut perlindungan terhadap setiap kehidupan manusia.
Seiring dengan itu, konsep diyat dalam tradisi perundangan Islam memperkukuh idea tanggungjawab terhadap kehilangan nyawa akibat kecuaian.
Walaupun tidak dilaksanakan secara formal dalam sistem sivil Malaysia, konsep ini selari dengan prinsip tort moden yang menekankan keperluan membayar pampasan kepada mangsa atau waris.

Dalam masa yang sama, seruan untuk menghentikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan pengambilan alkohol, termasuk dalam kalangan bukan beragama Islam, adalah satu langkah yang wajar dari sudut keselamatan awam.
Kesan alkohol terhadap keupayaan membuat keputusan dan kawalan diri menjadikan pemanduan satu risiko besar bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain.
Dari sudut prosedur operasi standard (SOP), beberapa langkah boleh diperkukuh, antaranya memperluas sekatan jalan raya pada waktu berisiko tinggi, melaksanakan ujian alkohol secara rawak dengan lebih kerap, serta meningkatkan penggunaan teknologi dalam penguatkuasaan. Pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu diperkasa agar kesedaran dapat dibentuk sejak awal.
Kesimpulannya, isu pemandu mabuk bukan sekadar kesalahan individu, tetapi mencerminkan tahap disiplin, budaya dan keberkesanan sistem perundangan dalam sesebuah negara. Ia melibatkan dua bentuk pertanggungjawaban yang serentak hukuman jenayah oleh negara dan tanggungan pampasan melalui tort kecuaian.
Malaysia mempunyai asas undang-undang yang kukuh, namun keberkesanannya bergantung kepada kesungguhan semua pihak untuk melaksanakannya. Dalam perspektif undang-undang dan juga nilai kemanusiaan, memelihara nyawa adalah tanggungjawab bersama, dan setiap kecuaian yang membawa kepada kehilangan nyawa mesti disertai dengan akauntabiliti yang tegas serta keadilan kepada mangsa.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Parti AMANAH Negara