Cubaan pembangkang untuk menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 daripada diluluskan tidak kesampaian apabila undi belah bahagian tidak berpihak kepada gabungan itu.
Berdasarkan undian, seramai 59 Ahli Parlimen bersetuju dengan RUU berkenaan, manakala 40 lagi tidak bersetuju.
Seorang tidak mengundi dan 122 lagi tidak hadir.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sebelum itu memohon supaya undi belah bahagian dibuat selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Permohonan itu menyebabkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit bagi Ahli Parlimen kedua-dua blok memasuki dewan untuk mengundi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata berdasarkan undian, seramai 59 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 40 tidak bersetuju serta seorang tidak mengundi dan 122 lagi tidak hadir.
“Maka RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 diluluskan,” katanya. -Berita Harian