SelangorToday

PEMBANGKANG SILA LUPAKAN USUL UNDI TIDAK PERCAYA PADA PMX – SANY HAMZAN

Pengarah Pilihan Raya AMANAH Nasional, Sany Hamzan menyeru agar pihak Perikatan Nasional(PN) yang menjadi blok pembangkang di Dewan Rakyat untuk melupakan agenda mengemukakan usul undi tidak percaya dalam Sidang Parlimen bagi sesi 2024 ini. Sany mengulas makluman yang dinyatakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul beberapa hari yang lalu bahawa tiada usul undi percaya mahupun undi tidak percaya dikemukakan dalam sidang kali ini. Sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada 26 Februari ini akan dimulakan dengan ucapan Titah Perasmian oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar. Jelas Sany lagi pembangkang seharusnya melupakan usaha untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dan memberikan peluang kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mentadbir negara dengan lancar.

Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menambah, sepatutnya usaha untuk menukarkan kerajaan perlu dilaksanakan apabila tempoh penggal ke-15 ini hampir berakhir dan Dewan Rakyat akan terbubar untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum. Ketika itu barulah semua pihak boleh berusaha untuk menukar kerajaan sedia ada. Malah Sany berkata, sokongan kepada kerajaan perpaduan semakin bertambah ketika ini setelah ahli parlimen PN yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri telah bertambah menjadi enam orang. Ini memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan sentiasa berada di hadapan untuk menerajui Malaysia serta mematikan semua agenda untuk menukar kerajaan dipertengahan penggal.

Sany juga turut memaklumkan, dalam sidang kali ini beliau akan terus membangkitkan isu kesesakan jalan raya yang sering berlaku di Hulu Langat serta kepadatan murid di sekolah serta penambahan balai bomba bagi mewakili kawasan Hulu Langat. Beliau akan mencadangkan beberapa agenda besar yang boleh dilakukan di kawasan beliau antaranya untuk menjadikan Hulu Langat sebagai destinasi pelancongan untuk satu tempoh masa. Isu kebanjiran warga asing juga turut akan diketengahkan oleh Sany dalam sidang kali ini. – SelangorToday

Exit mobile version