Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof mengingatkan kepada pihak pembangkang untuk tidak perlu takut mahupun resah dengan komitmen kerajaan MADANI untuk mengambil tindakan tegas kepada kegiatan jenayah siber yang masih berleluasa. Kata beliau, soal kebebasan bersuara tetap dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, maka pembangkang tidak perlu membangkitkan perkara tersebut. Namun yang menjadi keutamaan adalah kerajaan perlu menangangi isu jenayah siber yang mampu mengganggu gugat keharmonian negara serta melibatkan keselamatan negara apabila wujudnya sentimen perkauman, agama dan Institusi Raja di media sosial. Sepatutnya pembangkang tidak perlu takut dengan usaha ini jika pembangkang tidak melakukan sebarang perkara yang melibatkan jenayah siber.
Semalam, jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk mengarahkan tindakan tegas diambil kepada kegiatan jenayah siber melalui penyelarasan antara Polis Diraja Malaysia(PRDM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia(SKMM). Namun ia mendapat reaksi negatif daripada sebilangan penyokong pembangkang apabila langkah tersebut didakwa sebagai mengekang suara pembangkang mengkritik kerajaan.
Disamping itu, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berpendapat usaha kerajaan MADANI wajar dilakukan sekarang memandangkan kegiatan jenayah siber semakin berleluasa. Ia juga turut melibatkan kes bunuh diri apabila buli siber bebas dilakukan oleh pengguna siber. Justeru itu, melalui SKMM dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 211 dan 233 yang merupakan larangan kepada hantaran kandungan jelik dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, buli siber boleh dikekang apabila tindakan lebih tegas diambil.
Hj Azli selaku Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional turut berkata usaha kerajaan MADANI ini mampu mengekang ledakan pornografi dan pengaruh judi dikalangan pelajar sekolah memandangkan dua pengaruh bahaya ini mudah didapati di Media Sosial. Beliau juag mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) menggubal kurikulum yang menenkankan pendidikan digital disamping aspek moral bagi memupuk sikap tanggungjawab pelajar dalam penggunaan digital. Sambil tidak membelakangkan kemajuan teknologi berteraskan digital, Hj Azli mengharapkan pengukuhan moral kepada pelajar melalui pendidikan akan mengekang jenayah siber serta penggunaan media sosial dan AI kepada elemen tidak sihat seperti pornografi, judi dan fitnah. – SelangorToday