 
                SHAH ALAM, 27 Ogos – Tindakan blok pembangkang menolak beberapa rang undang-undang (RUU) yang jelas memberi manfaat kepada rakyat sekali lagi mendedahkan wajah sebenar politik sempit yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Menurut Ketua Pemuda Amanah Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid, sikap PN menolak RUU semata-mata kerana ia dibentangkan oleh menteri daripada DAP membuktikan pembangkang lebih mengutamakan polemik politik perkauman berbanding kepentingan rakyat.

Antara yang ditolak termasuk RUU Pembangunan Semula Bandar (Urban Renewal Act/URA) yang dirangka untuk membela puluhan ribu keluarga bandar yang mendiami flat uzur. Beliau menjelaskan, dakwaan kononnya URA akan menindas pemilik asal tidak benar sama sekali kerana undang-undang itu menjamin pampasan adil, pemilikan unit baharu secara 1 lawan 1, dan perlindungan hak tanah.
“Tanpa URA, kerajaan tidak mempunyai kuasa undang-undang melindungi pemilik sekiranya berlaku penindasan oleh pemaju. Dengan adanya akta ini, hak rakyat diperkukuh,” katanya.

Selain itu, pembangkang turut menolak RUU Pekerja Gig yang buat pertama kali mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja gig dalam undang-undang buruh negara. RUU tersebut menetapkan kadar bayaran minimum, perlindungan sosial, mekanisme penyelesaian pertikaian serta definisi rasmi pekerja gig – menjadikan Malaysia antara 15 negara terawal di dunia melaksanakan langkah tersebut.
YB Danial menegaskan, rakyat sedang menilai sikap PN yang menolak dasar pro-rakyat hanya kerana ia datang daripada kerajaan perpaduan.
“Apakah mereka mahu dikenang sebagai parti yang menolak dasar penting demi kesejahteraan rakyat hanya kerana ia dibawa oleh menteri DAP? Politik kebencian seperti ini tidak akan melemahkan tekad kami membina negara inklusif, adil dan progresif,” tegas beliau.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            