 
                KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Madani atas komitmen berterusan memperkasa pembangunan Islam di negara ini melalui peningkatan peruntukan tahunan yang signifikan.
Beliau berkata, dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion bagi memperkukuh institusi Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAWI, institusi tahfiz, pembangunan masjid serta hal ehwal syariah.
“Pada tahun 2020, jumlah peruntukan bagi pembangunan Islam hanyalah sekitar RM1.3 bilion. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun dan selepas tiga tahun kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, peruntukan ini meningkat hampir dua kali ganda, menandakan komitmen jelas kerajaan terhadap pembangunan Islam yang menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Hj Azli menegaskan bahawa peningkatan tersebut membuktikan Islam tidak terpinggir di bawah pentadbiran Madani, malah terus disuburkan melalui pendekatan yang menekankan keadilan sosial dan nilai kemanusiaan, bukan sekadar simbolik semata-mata.
“Kita memartabatkan Islam bukan pada simbol, tetapi kepada keadilan sosial dan nilai kemanusiaan. Inilah roh sebenar Islam yang cuba diterjemahkan dalam dasar kerajaan Madani,” katanya.
Namun, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap naratif negatif yang dimainkan oleh pihak tertentu kononnya Islam semakin terancam di bawah kerajaan hari ini.
“Naratif ini berbahaya kerana boleh memecahbelahkan masyarakat dan mencetuskan prasangka berterusan. Ia sering berlegar di media sosial dan mampu mempengaruhi emosi rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hj Azli menggesa Bahagian Hal Ehwal Agama Islam Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kementerian Komunikasi dan Perpaduan untuk melaksanakan langkah bersepadu dalam menangani sentimen negatif tersebut, termasuk melalui strategi komunikasi yang lebih berkesan dan berasaskan fakta.
Katanya, usaha menangkis persepsi songsang itu penting bagi memastikan rakyat memahami bahawa dasar Madani bukan hanya memelihara kesejahteraan umat Islam, tetapi juga memperkukuh keharmonian seluruh masyarakat majmuk di Malaysia.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            