Kerajaan Madani melalui Kementerian Pertahanan sedang menumpukan usaha ke arah pembangunan rumah keluarga anggota tentera bagi menampung keperluan mereka. Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dari Berita Harian, Adly berkata Kementerian Pertahanan menyasarkan pembangunan rumah keluarga anggota tentera berupaya menampung keperluan hingga 60 peratus daripada keseluruhan 100,000 anggotanya. Jelas beliau, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan sedang berbincang untuk meneliti beberapa aspek berkaitan perumahan anggota agar sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
Adly yang juga Naib Presiden AMANAH menambah, perbincangan itu juga turut melihat kepada peluang anggota tenteta memperoleh rumah mereka sendiri dengan menjadikan proses pemilikan rumah lebih mudah. Beliau menegaskan, Kementerian Pertahanan sudah merancangan tentang pembangunan rumah keluarga anggota tentera ini. Manakala untuk pembangunan tahun ini, ia dijangka siap menjelang 2029. Adly turut memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan RM400 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih semua rumah keluarga angkatan tentera.
Ahli Parlimen Alor Gajah itu ditemui ketika mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM) Sandakan. Adly turut meninjau Op Pasir Sektor Bravo di Pulau Berhala bagi mendapatkan gambaran jelas dan terperinci mengenai aspek pengoperasian sempadan. Di samping itu, beliau turut melihat perihal kebajikan anggota yang sedang bertugas disana. Dalam masa yang sama, beliau sempat menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan kepada 10 penerima dalam kalangan anggota tentera atau waris yang mempunyai penyakit kronik mahupun Orang Kurang Upaya. – SelangorToday