
PENA RAHMAH | Isu Gaza terus menjadi tumpuan global dengan pelbagai cadangan yang muncul untuk menangani krisis berpanjangan di wilayah tersebut.
Salah satu idea kontroversi yang telah diketengahkan ialah kenyataan Donald Trump untuk mengambil alih wilayah tersebut dan memindahkan penduduknya ke kawasan lain.
Alasannya mudah iaitu untuk memindahkan penduduknya keluar dari kawasan Gaza dan membina pembangunan yg terbaik. Hasrat ini telah ditentang hampir semua negara Arab dan Timur Tengah terhadap cadangan ini.
Walau bagaimanapun, cadangan sebegini menimbulkan persoalan besar mengenai kesesuaiannya dengan prinsip undang-undang antarabangsa serta nilai-nilai hak asasi manusia yang perlu dihormati.

Prinsip Utama Undang-Undang Antarabangsa
- Hak Penentuan Nasib Sendiri (Self-Determination)
Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa setiap bangsa mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri dan mentadbir wilayah mereka tanpa campur tangan pihak luar. Prinsip ini adalah asas penting bagi kestabilan dan keadilan global.
Resolusi 1514 (XV) PBB pada tahun 1960, juga dikenali sebagai Declaration on the Granting of Independence to Colonial Countries and Peoples, memperkukuhkan hak ini dengan menyatakan:
“All peoples have the right to self-determination; by virtue of that right they freely determine their political status and freely pursue their economic, social and cultural development.”
(Semua bangsa mempunyai hak untuk penentuan nasib sendiri; dengan hak itu, mereka bebas menentukan status politik mereka serta bebas mengejar pembangunan ekonomi,sosial dan pembangunan.

- Larangan Pemindahan Paksa (Forced Displacement)
Konvensyen Geneva Keempat (1949) melarang sebarang bentuk pemindahan paksa penduduk dari kawasan asal mereka. Pemindahan secara paksa bukan sahaja menyukarkan kehidupan penduduk, tetapi juga menimbulkan isu kemanusiaan yang serius. - Prinsip Kedaulatan Wilayah (Territorial Sovereignty)
Gaza, seperti mana-mana wilayah lain, mempunyai kedudukan geopolitik yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Sebarang tindakan yang melibatkan perubahan pentadbiran atau pemindahan penduduk perlu melalui persetujuan pihak berkaitan dan sebarang usaha tanpa persetujuan melanggar norma diplomatik global. - Perlindungan Hak Asasi Manusia
Hak untuk hidup dengan maruah, memiliki tempat tinggal, dan tidak menjadi mangsa diskriminasi adalah hak asasi manusia yang perlu dihormati. Sebarang tindakan yang melibatkan penduduk awam perlu mengambil kira perlindungan hak ini.
Kepentingan Dialog dan Diplomasi
Bagi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan di Gaza, usaha diplomasi yang inklusif dan menghormati undang-undang antarabangsa adalah penting.
Penyelesaian konflik yang mengambil kira hak semua pihak serta memastikan kesejahteraan penduduk tempatan adalah jalan terbaik ke arah keamanan yang berkekalan.

Peranan Komuniti Antarabangsa
Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk menyokong sebarang usaha yang menghormati prinsip keadilan, hak asasi manusia, dan undang-undang antarabangsa.
Dengan kerjasama yang erat, keamanan dan pembangunan semula Gaza dapat direalisasikan tanpa mencetuskan isu kemanusiaan atau pelanggaran hak penduduknya.
Penutup
Sebarang cadangan yang berkaitan dengan wilayah konflik seperti Gaza perlu dilaksanakan dengan berhati-hati, mengambil kira sensitiviti politik dan sosial, serta berpandukan undang-undang antarabangsa.
Keutamaan mestilah diberikan kepada usaha perdamaian dan pembangunan yang menghormati hak serta maruah semua pihak terlibat.
Hj Shamsul Ma’arif Ismail