Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pembukaan jalan itu akan memberi faedah kepada orang awam berbanding dua tahun sebelumnya.
“Sebelum ini, laluan alternatif ini ditutup dan hanya dibuka satu laluan untuk pekerja-pekerja di Genting Highlands yang menetap di Batang Kali.
“Saya berharap ia akan memberi manfaat dan keselesaan kepada pengguna,” katanya.
Insiden tanah runtuh pada 16 Disember 2022 menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm yang mengakibatkan 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak terkorban.
Tiga jam selepas dibuka secara rasmi, Laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini menyaksikan puluhan kenderaan melaluinya.
Tinjauan mendapati kenderaan seperti kereta dan bas persiaran menggunakan laluan itu untuk pergi ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands.
Seorang pengguna, Mohd Helmi Rasmi, 42, berkata dia yang menetap di Batang Kali bersyukur jalan yang ditutup pada Disember 2022 itu dibuka semula.
“Saya kerja sebagai pemandu di atas (Genting Highlands) sana dan selalu berulang-alik menggunakan laluan ini.
“Syukurlah situasi bertambah baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui.
Bagi pelancong yang mahu dikenali sebagai Isabella, selepas tragedi tanah runtuh pada Disember 2022 dia menggunakan laluan lain untuk pergi ke Genting Highlands.
“Senang sikit apabila jalan ini dibuka semula kepada semua pemandu,” katanya yang menetap di Pulau Pinang. – Berita Harian