SelangorToday

PEMILIK RUMAH ROSAK AKIBAT BANJIR DIMINTA BUAT ADUAN KEPADA KPKT – AIMAN

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon mangsa-mangsa yang terjejas dengan banjir segera membuat laporan mengenai kerosakan dan kemusnahan rumah masing-masing kepada agensi di bawah KPKT.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, laporan tersebut perlu dibuat untuk memudahkan pihaknya menjalankan siasatan.

Menurut beliau, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan dan maklumat mengenai perkara tersebut kerana banjir belum pulih sepenuhnya.

“KPKT akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dan menilai kerosakan rumah penduduk akibat banjir selepas maklumat diterima.

“Kerosakan rumah penduduk akan dibaiki mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP)  seperti sebelum ini,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan taklimat banjir di Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Tunjong, di sini

Aiman Athirah berkata, Kerajaan Persekutuan tetap membantu penduduk di sini yang ditimpa bencana meskipun Kelantan negeri yang diterajui pemimpin pembangkang.

Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 495 anggota melibatkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) JBPM ditugaskan semasa Monsun Timur Laut (MTL) di kawasan Semenanjung Malaysia.

Katanya, pasukan tersebut akan membantu pegawai dan anggota JBPM sedia ada di negeri masing-masing yang terlibat banjir.

“Di Kelantan, bantuan Red Team ditugaskan di Rantau Panjang yang merupakan kawasan terjejas teruk akibat banjir.

“Pasukan itu sentiasa bersedia membantu memindah mangsa banjir dengan menggunakan lori dan bot yang mempunyai kelengkapan bantuan semasa banjir,” katanya.- UTUSAN

Exit mobile version