SelangorToday

PEMIMPIN PARTI POLITIK JADI PENENTU RUANG 30% KEPIMPINAN WANITA TERCAPAI

Ketua Wanita AMANAH Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim mengulas kedudukan wanita dalam kepimpinan politik negara. Kata beliau, meskipun jumlah penduduk di Malaysia dari jantina lelaki dan perempuan mencapai 50-50, namun kedudukan wanita sebagai pemimpin politik dan pembuat dasar masih tidak mencapai 30%. Bagi beliau, masyarakat sudah bersedia untuk meletakkan wanita sebagai pemimpin, sebaliknya ruang itu mungkin terganggu apabila masih belum ada keyakinan dalam kepimpinan parti-parti politik di Malaysia. Tambah beliau, hanya pemimpin politik sahaja yang mampu memastikan ruang 30% wanita sebagai pembuat keputusan itu tercapai apabila mereka percaya dan memberikan peluang kepada wanita menjadi calon dalam Pilihan Raya.

Beliau yang berjaya menjadi ADUN pertama HARAPAN di Kelantan turut berkata, ada ciri-ciri kepimpinan wanita yang mampu menjadikan sebuah dasar yang dibentuk lebih harmoni dan seimbang. Katanya, sikap empati wanita dalam merasai denyut nadi golongan wanita akan mencetuskan sebuah dasar yang lebih berkesan untuk wanita dan masyarakat. Malah kecerdasan emosi wanita juga mampu membina dasar-dasar masyarakat dari sudut pandang yang berbeza memandangkan golongan wanita juga adalah rakyat Malaysia. Sambil menolak dakwaan untuk menyalahkan golongan lelaki, Dr. Hafidzah berkata keberadaan wanita dalam kepimpinan bukanlah untuk merendahkan taraf lelaki, sebaliknya ia menjadi satu segmen yang membantu pemimpin utama negara membentuk keputusan yang benar-benar tepat.

Dr.Hafidzah yang juga Timbalan Ketua Wanita HARAPAN Kelantan itu menyertai Wacana Sinar Harian yang bertajuk 66 Tahun Merdeka, Dimana suara wanita? Dalam temu bual tersebut, Dr. Hafidzah juga mahu sasaran keterlibatan wanita dalam kepimpinan jelas dan kukuh untuk dicapai iaitu 30%. Sebagai susulan, langkah yang perlu diambil oleh semua pemimpin politik wanita adalah dengan menjelaskan sasaran tersebut dan mempengaruhi masyarakat khususnya pemimpin parti politik untuk meletakkan wanita lebih ramai sebagai calon. – Selangor Today

Exit mobile version