Pemimpin wanita setempat di Selangor menyokong penuh usaha kerajaan Selangor memperkenalkan insentif MamaKerja kepada rakyat di Selangor. Rosmayana Abu Rahim selaku mantan Penyelia Pusat Wanita Berdaya DUN Hulu Kelang menganggap usaha kerajaan Negeri Selangor itu sebagai menyokong peranan wanita dalam pembangunan ekonomi negara disamping komitmen kaum wanita sebagai kelompok terpenting kesejahteraan institusi keluarga.
Beliau yang sebelum itu menyampaikan Sumbangan Bakul Rahmah kepada penduduk sekitar Kampung Kemensah Hulu Kelang menambah, memandangkan penyertaan wanita sebagai tenaga kerja mencatat 55.6 peratus masih kecil berbanding kaum lelaki, insentif ini akan mendorong peningkatan wanita dalam pasaran kerja tanpa meminggirkan aspek ekonomi penjagaan yang dijalankan khususnya yang sudah mempunyai anak. Insentif ini akan menjadi permulaan kepada pelbagai usaha Kerajaan Perpaduan Selangor dalam menjamin kesejahteraan pihak yang menjaga dan dijaga bagi sebuah komuniti.
Melihat kepada usaha yang berterusan ini, sebenarnya Selangor telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu kesejahteraan golongan wanita, pembangunan keluarga dan kanak-kanak. Antaranya Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar(ASUH PINTAR) dan Skim Bantuan Tadika (TUNAS). Maka insentif MamaKerja Selangor merupakan kesinambungan dan usaha pengukuhan Kerajaan Selangor membela rakyat Selangor. Rosmayana juga merupakan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Kawasan Gombak yang baru terpilih dalam pemilihan beberapa minggu lalu menyeru golongan B40 dan M40 untuk tidak melepaskan peluang yang ada dengan memohon intensif tersebut di aplikasi Selangkah. –SelangorToday