SelangorToday

PEMUDA AMANAH AJAK ROSYAM NOR DUDUK SEMEJA, CARI SOLUSI TERBAIK POLEMIK PUSAT PELACURAN

Pemuda AMANAH mengajak selebriti terkemuka dan tokoh usahawan, Rosyam Nor duduk semeja berbincang untuk mencari solusi terbaik bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh Rosyam dalam siaran Podcast Hitam Putih Kehidupan. Sebelum ini tersebar luar video pelakon terbaik  tanah air itu menyarankan agar Pusat Pelacuran dibuka untuk warga asing melepaskan nafsu mereka bagi menggelakkan kes rogol terhadap warga tempatan berlaku. Kenyataan tersebut mendapat kecaman daripada Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Selangor, Ustaz Azrul Hakim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar dan beberapa mufti negeri.

Namun selepas polemik itu terus membara, Rosyam tampil dengan penjelasan bahawa rakaman yang tersebar berkenaan isu pusat pelacuran merupakan video promo untuk program podcast terbitan Suhan Channel. Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kerana atas kecelaruan yang timbul disebabkan tayangan video ringkas. Beliau mencadangkan orang ramai pergi ke Suhan Channel untuk mendengar keseluruhan rakaman tentang perkara yang dibincangkan. Bagi Pemuda AMANAH melalui Pengarah Hal Ehwal Syariahnya, Mirzan Majid, beliau yakin pelakon serba boleh itu mempunyai niat yang baik bagi menjaga kehormatan wanita tempatan, maka seharus wajar perbincangan diadakan secara lebih mendalam bagi melihat solusi terbaik.

Walau bagaimana pun, dalam kenyataan yang sama Pemuda AMANAH melihat pembukaan Pusat Pelacuran untuk warga asing tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia akan mengundang banyak masalah lain kepada negara. Selain itu juga, pembukaan pusat tersebut akan membuka ruang kepada warga tempatan khususnya yang beragama Islam untuk turut terlibat sama ada sebagai pelanggan mahupun pekerja. Pemuda AMANAH menegaskan, isu rogol di negara ini tidak hanya melibatkan warga asing semata-mata. Namun ia juga melibatkan warga tempatan. Maka satu pendekatan holistik melibatkan semua sasaran masyarakat perlu dicadangkan tanpa mewujudkan satu jenayah syariah yang lain. Mirzan juga mencadangkan agensi kerajaan terutamanya PDRM serta pihak berkuasa agama segera mencari solusi menangani masalah ini. – SelangorToday

Exit mobile version