SelangorToday

PEMUDA AMANAH AKAN TURUN HABIS-HABISAN SOKONG CALON PERPADUAN DI AYER KUNING

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan komitmen penuh untuk membantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Mohamad Yusri Bakir daripada Barisan Nasional (BN), dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadual berlangsung pada 26 April ini.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, YB Danial Al-Rashid berkata, walaupun parti itu pernah bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum yang lalu, kali ini mereka memilih untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik negeri dan negara.

“Keputusan ini merupakan manifestasi kepada iltizam kami untuk memperkukuh persefahaman politik dan menolak politik perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, seluruh kekuatan Pemuda AMANAH dari seluruh negara, termasuk sayap-sayap pemuda negeri, akan digerakkan secara berfasa untuk memperkukuh jentera kempen serta mendekati pengundi muda di Ayer Kuning.

Antara usaha awal ialah penganjuran Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Harapan, yang akan berlangsung pada:

Tarikh: Jumaat, 11 April 2025

Masa: 8.00 malam

Tempat: Arena Square, Kampung Tanjung Keramat, Tapah

“Pemuda dari semua komponen Kerajaan Perpaduan – AMANAH, PKR, DAP, UMNO dan rakan-rakan sekutu – diseru hadir menyatakan solidariti dan menyuntik semangat perjuangan demi kemenangan calon bersama,” ujar Danial.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pemuda AMANAH telah menunjukkan prestasi membanggakan dalam beberapa PRK terdahulu, termasuk di Batang Kali, apabila berjaya memenangi hampir semua daerah mengundi yang dipertanggungjawabkan.

“Kami yakin dengan gerak kerja terancang dan semangat berpasukan, kita mampu mencipta kejayaan di Ayer Kuning,” katanya lagi.

Exit mobile version