SelangorToday

PEMUDA AMANAH ANTARA ORGANISASI YANG BERPIKET DI KEDUTAAN AS DEMI PALESTIN

Pemuda AMANAH antara berpuluh-puluh organisasi yang bersama dengan Sekretariat Solidariti Palestin mengadakan Aksi Solidariti Kepung Demi Palestin yang diadakan mulai semalam sehinggalah 31 Disember ini. Pemuda AMANAH yang diketuai oleh Senator Hasbie Muda antara ratusan rakyat Malaysia yang menyertai piket selama 5 hari tersebut di Kedutaan Amerika Syarikat. Dalam ucapan pertamanya semalam, Hasbie berkata aksi yang disertai oleh semua parti politik, semua kaum dan agama itu diadakan bagi memberi mesej jelas kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bahawa Malaysia bersama dengan Palestin. Beliau menegaskan aksi ini sebagai simbolik bahawa tiada satu pun rakyat Malaysia yang merelakan tindakan regim Israel kepada Palestin.

Perhimpunan itu menyaksikan lebih 100 orang berarak dari Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke kedutaan itu. Selain Pemuda AMANAH, ia turut disertai oleh 35 NGO, 15 pergerakan pelajar dan sayap Pemuda parti politik lain seperti AMK, MCA dan PAS. Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda turut serta. Perhimpunan itu mendesak pembunuhan rakyat Palestin dihentikan; gencatan senjata segera, tetap dan tidak bersyarat; penamatan pertelingkahan bagi menangani keperluan mendesak orang awam di Gaza; dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk negara berdaulat

Bagi Naib Ketua Pemuda AMANAH pula, hampir dua puluh ribu rakyat Palestin dibunuh sesuka hati oleh regim Israel. Adakah dalam keadaan sekarang, Muhammad Faris Arriffin berkata kita di Malaysia masih boleh berdiam diri? Isu Palestin merupakan isu kemanusian, maka rakyat Malaysia tidak sepatutnya berdiam diri dan perlu menyerlahkan solidariti kita bersama Palestin. – SelangorToday

Exit mobile version