 
                KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Pemuda AMANAH Nasional hari ini menggesa kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap skim subsidi minyak masak bersubsidi 1kg, dengan mencadangkan peralihan daripada subsidi berbentuk barang kepada kaedah Pemindahan Tunai Terus (Direct Cash Transfer) yang lebih tepat sasaran dan berkesan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faris Arriffin, dalam satu kenyataan berkata subsidi minyak masak yang diwujudkan untuk meringankan beban rakyat kini menjadi sumber ketirisan dan keuntungan haram bagi sindiket penyeludupan, khususnya di sempadan negara.
“Di sempadan Golok, satu paket minyak masak bersubsidi dijual antara RM6 hingga RM7, memberi margin keuntungan sehingga 180%. Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia yang layak terpaksa beratur panjang dan seringkali pulang dengan tangan kosong kerana kekurangan stok,” katanya.
Pada tahun 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM1.945 bilion untuk skim ini melalui Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOss). Namun, lebih 2,500 kes penyeludupan telah direkodkan, termasuk rampasan besar-besaran seperti 7,735kg minyak masak di Kelantan dan 425kg di Sandakan.
Faris turut menekankan bahawa subsidi sedia ada bersifat menyeluruh (blanket subsidy), menyebabkan golongan berpendapatan tinggi (T20) turut menikmati manfaatnya. “Kajian menunjukkan hanya 24% subsidi sampai kepada golongan B40, manakala 35% dinikmati oleh T20,” tambahnya.
Sebagai jalan penyelesaian, Pemuda AMANAH mencadangkan pendekatan pemindahan tunai secara berfasa kepada golongan sasar menggunakan data kerajaan yang sedia ada, seperti kaedah yang diguna pakai dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Program ini telah membuktikan keberkesanannya apabila 4.1 juta isi rumah B40 menerima bantuan RM100 sebulan secara terus ke akaun MyKad mereka. Ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, malah menjimatkan perbelanjaan negara dalam jangka panjang.”
Pemuda AMANAH turut merujuk kejayaan program tunai bersasar di negara seperti Jordan dan Indonesia yang menunjukkan impak positif terhadap kadar kemiskinan, pendidikan dan kesihatan rakyat.
“Subsidi bukan hanya isu fiskal. Ia mencerminkan maruah rakyat dan kecekapan negara. Kita perlu pastikan setiap ringgit bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan – bukan ke poket penyeludup,” tegas Faris.
Pemuda AMANAH menegaskan, sudah tiba masanya untuk kerajaan beralih daripada subsidi barang secara menyeluruh kepada subsidi tunai yang bersasar, demi keberkesanan dan keadilan sosial yang lebih mampan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            