SelangorToday

PEMUDA AMANAH : Dari Politik Jalanan Mengangkat Politik Keilmuan

Pemuda Parti AMANAH Negara, merupakan sayap kanan parti AMANAH sejak ia ditubuhkan. Jika Angkatan Wanita AMANAH Negara atau AWAN sebagai sayap wanita Parti AMANAH yang menjadi tunjang kepada parti, Pemuda AMANAH pula merupakan sebuah sayap beraksi dan menjadi muka depan kepada perjuangan AMANAH.

Tertubuhnya Pemuda AMANAH sama-sama dengan tertubuhnya parti adalah dipimpin oleh bekas Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Sany Hamzan. Manakala Timbalan Ketuanya pula dipertanggungjawabkan kepada seorang pengamal undang-undang yang merupakan anak kepada bekas Presiden PAS yang ke -6 Ustaz Fadzil Noor iaitu Muhammad Faiz Fadzil.

Dalam tempoh penubuhannya, Pemuda AMANAH bergelumang dalam keadaan mahu meletakkan struktur Pemuda yang serba lengkap di seluruh negara serta meneruskan momentum rakyat untuk menolak regim Barisan Nasional ketika itu dengan menarik sokongan anak muda.

Menariknya Pemuda AMANAH ketika itu, Sany sebagai seorang pemidato yang lantang serta mempunyai keupayaan memobilisasikan sokongan rakyat kepada sesuatu isu dengan kerjasama pembantu-pembantunya telah berjaya membawa Pemuda sebagai muka utama menjadi suara rakyat di jalanan. Suara yang diangkat bukan omong kosong, malah ia aspirasi dan tekad rakyat ketika itu mahu Malaysia bebas dari kezaliman, rasuah dan kerosakan negara. Pemuda AMANAH meletakkan suara rakyat itu sebagai perjuangan mereka sekaligus membantu parti induk dan Pakatan Harapan menggembleng usaha ke arah menumbangkan pemerintah sedia ada.

Dari satu sudut Pemuda AMANAH membawa pendekatan politik jalanan yang amat popular penghujung 90an dahulu sehingga awal abad ke-21 sebagai platform untuk mereka menyatakan aksi dan membawa mesej perjuangan mereka. Semakin ini memang tidak lari dari sifat seorang anak muda, berani, tahan diuji dan pantas bertindak. Sikap ini telah meletakkan Pemuda AMANAH pantas meningkat nama dalam politik Malaysia selain bergandingan dengan Angkatan Muda Keadilan, DAPSY serta Armada BERSATU dalam PH sebelum PRU 2018.

Sany sendiri ketika itu berjaya diangkat sebagai wakil rakyat Kawasan DUN Taman Templer di Selangor manakala Faiz pula berjaya memperkukuhkan sokongan dan kedudukannya di kubu PAS dahulu sebagai YB di Permatang Pasir Pulau Pinang. Pencapaian ini bukan satu pencapaian biasa, namun ia dicapai dengan adunan pelbagai faktor termasuk peranan yang dimainkan oleh Pemuda AMANAH dalam menggerakkan rakyat untuk meneruskan tekad mereka menolak pemerintah yang korupsi dan salah gunakan kuasa.

Selain Sany, Ketua-Ketua Pemuda AMANAH Negeri juga turut dinobatkan sebagai wakil rakyat seperti Asmirul Anuar melalui DUN Kubang Rotan Kedah, Hasnul Zulkarnain di DUN Titi Serong, Perak dan Taqiuddin Cheman di DUN Pulai Sebatang Johor.

Memasuki fasa Pemuda AMANAH sebagai sayap parti pemerintah, aksi pimpinan Pemuda sentiasa menjadi perhatian umum. Meskipun Sany dan Faiz tidak dipilih sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri masing-masing seperti Asmirul di Kedah dan Hasnul di Perak, tetapi perbahasan dan peranan mereka sebagai wakil rakyat blok kerajaan berjaya meletakkan Pemuda AMANAH mempunyai kedudukannya tersendiri.

Pemilihan Pemuda AMANAH tiba pada tahun 2019 buat pertama kalinya ditubuhkan. Pemuda AMANAH yang berlumba-lumba mahu mengerjakan kebaikan dalam perjuangan menjadi semakin hangat dan rancak apabila Sany dan Faiz akan meninggalkan kedudukan mereka dalam Pemuda. Ramai Ketua-Pemuda AMANAH Negeri menawarkan diri untuk mengetuai Pemuda termasuk Abbas Azmi dari Selangor serta Hasnul dari Perak. Tidak ketinggalan memasuki gelanggang adalah Naib Ketua Pemuda AMANAH ketika itu serta Pegawai Tugas-Tugas Khas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Wan Anwar Wan Ibrahim. Pun begitu kaedah pemilihan AMANAH termasuk Pemuda amat berbeza dengan UMNO dan PAS yang memerlukan kemenangan 27 orang dari semua calon yang bertanding. 27 yang tersenarai itulah akan mengundi siapa yang akan mengisi 1 jawatan ketua, 1 jawatan timbalan ketua dan 3 jawatan naib ketua. Oleh itu mereka yang bertanding terpaksa mewujudkan kelompok atau gerakan masing-masing bagi memastikan mendapat sokongan daripada 27 pemenang yang dipilih. Hasnul menubuhkan Pemuda Bekerja, Abbas menubuhkan Pemuda Bangkit dan Wan Anwar menubuhkan Pemuda Berwibawa.

Pemilihan tersebut sengit dan Pemuda Bangkit hanya kekurangan seorang wakil dalam 27 pemenang yang tersenarai bagi menguasai majoriti mudah untuk menobatkan calon mereka sebagai Ketua. Akhirnya selepas senarai nama 27 yang terpilih diumumkan dan mereka melakukan rundingan dan undian untuk memilih kepimpinan Pemuda AMANAH, maka Hasnul dipilih sebagai ketua, Shazni Munir sebagai timbalan ketua, Zubair Rahim, Taqiuddin dan Kevin Shawn sebagai naib ketua. Beberapa minggu selepas pemilihan, Abbas dan Fadillah Sabali dipilih sebagai naib ketua lantikan.

Pemilihan parti dalam AMANAH sedikit memberi kesan keatas kesepaduan parti, tetapi ia tidaklah sehingga melemahkan AMANAH. Walaubagaimana pun, krisis politik nasional melalui aksi Langkah Sheraton hingga menumbangkan kerajaan PH 1.0 secara tidak langsung merencatkan perkembangan dan hala tuju Pemuda AMANAH itu sendiri. Mana tidaknya, Pemuda AMANAH menjadi apabila Ketua mereka memilih haluan berbeza dengan pendirian AMANAH dan PH. Hasnul ketika itu memilih bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dari BERSATU untuk duduk bersama BN dan PAS untuk menubuhkan Kerajaan baharu menggantikan PH.

Secara tidak langsung, Pemuda AMANAH kehilangan nakhoda kapal. Beberapa ketika, Pemuda kembali membuat pemilihan bagi menentukan ketua mereka. Shazni yang sebelum itu memangku jawatan ketua disahkan sebagai ketua manakala Taqiuddin disahkan sebagai timbalan ketua.

Pemuda kembali memainkan peranan sebagai ejen menggerakkan rakyat seiring kedudukan mereka yang kembali sebagai pembangkang. Negara dilanda Covid-19 serta Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang melorongkan rakyat dalam keadaan terhimpit serta tertekan. Tambahan pula, kerajaan yang ada ketika itu ditakuti oleh bayangan mereka sendiri kerana pengkhianatan yang dilakukan menyebabkan proses semak imbang kurang dilaksanakan seterusnya kurang memberikan impak dalam setiap dasar yang ditetapkan.

Ketika Pemuda AMANAH meneruskan perjuangan melalui pelbagai platform, Shazni dijangkiti Covid-19 serta meninggal dunia pada 6 Ogos 2021. Pemuda AMANAH sekali lagi kehilangan ketua mereka. Pada 23 Oktober 2021, ahli jawatankuasa Pemuda AMANAH bersidang untuk memilih ketua yang baharu. Rundingan yang berjalan membentuk persetujuan bersama bahawa Hasbie Muda, bekas Pengarah Pendidikan Politik Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai ketua yang baharu. Manakala Nik Razak Rizuan sebagai timbalan ketua.

Pasca pemilihan itu, Pemuda AMANAH menumpukan usaha mengembalikan kedudukan mereka sebagai kerajaan melalui PRU 2022. Hasbie bertanding di Parlimen Temerloh manakala Nik Razak di Parlimen Tasek Gelugor. Pecahan undi melayu serta ketidaktentuan hala tuju politik negara telah menurun momentum sokongan pengundi melayu kepada PH termasuk AMANAH. Calon-calon dari Pemuda AMANAH tewas meskipun PH mengungguli jumlah kerusi dalam PRU tersebut. Namun PH berjaya kembali menjadi kerajaan semula dibawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Justeru kedudukan itu membolehkan Hasbie dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Pilihan Raya bagi enam negeri termasuk Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan berasingan. Calon dari pemuda seperti Abbas dan Danial Al Rashid Harun berjaya dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan DUN Seri Serdang dan Batu Tiga. Dalam pemilihan parti pada tahun 2023, Danial dipilih menggantikan Nik Razak sebagai timbalan kepada Hasbie yang memimpin Pemuda AMANAH bagi penggal kedua.

Apa yang dapat diperhatikan, peluang Pemuda AMANAH sebagai parti pemerintah dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan pemuda khususnya Hasbie dan Danial dalam membawa pendekatan yang lebih efisien menyantuni rakyat. Pemuda AMANAH meletakkan politik keilmuan dan pencerahan umat sebagai asas pendekatan mereka dalam berhadapan dengan situasi politik dan isu rakyat. Hasbie misalnya membawa platform dailog atau perdebatan untuk merungkai kerumitan atau pertembungan idea dengan pembangkang. Dari situ rakyat dapat menilai hujah dan keupayaan pimpinan Pemuda AMANAH dalam mengangkat  idea terhadap sesuatu isu.

Danial pula atas platformnya sebagai pembuat dasar perundangan di Selangor meletakkan nilai inklusif merangkumi golongan Orang Kurang Upaya atau OKU sebagai agenda utamanya. Keghairahannya dalam membentuk Selangor sebagai negeri mesra OKU dan menjadi negeri teladan dalam meletakkan kebersamaan orang biasa dengan OKU memperlihatkan tekad Danial dan Pemuda. Pemuda AMANAH tidak lagi memilih tindakan popular sebagai pilihan mereka, sebaliknya memilih langkah atau pendekatan yang sesuai dengan matlamat untuk mencerahkan pemikiran rakyat. Sama ada ia menguntungkan atau tidak dalam jangka masa pendek, ia tetapi diusahakan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Faris Ariffin sebagai anak muda yang kaya dengan pengalaman dalam dunia korporat kerap melontarkan idea yang lebih komprehensif dalam isu yang berbangkit sekaligus membentuk Pemuda AMANAH sebagai parti yang menawarkan solusi dan pencerahan kepada sebarang pertembungan yang berbangkit.

Oleh itu, Pemuda AMANAH tidak merangkul pendekatan lamanya dan diadun dengan pendekatan baru sesuai dengan zaman dan kedudukan Pemuda AMANAH harini. Pemuda AMANAH yang dahulunya menguasai politik jalanan sebagai wakil suara rakyat memilih pendekatan yang lebih matang dan berhikmah dalam menyantuni isu rakyat melalui politik keilmuan dan pencerahan. Pemuda AMANAH yakin dengan mencerahkan pemikiran rakyat, politik Malaysia akan lebih harmoni dan pastinya kelak AMANAH akan mendapat tempat dikalangan rakyat.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version