KUALA LUMPUR, 31 Mac 2026 – Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Haron, menyuarakan perbezaan pandangan terhadap cadangan kerajaan berhubung isu kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mabuk.
Beliau menegaskan bahawa cadangan mewajibkan pesalah mabuk membayar ganti rugi bukanlah penyelesaian tuntas kepada masalah tersebut.
Menurut beliau, walaupun cadangan itu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan, hakikatnya tiada nilai pampasan yang mampu menggantikan kehilangan nyawa.
“Isu ini bukan sekadar soal pampasan, tetapi soal keadilan, pencegahan dan ketegasan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk telah terlalu banyak meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah. Sehubungan itu, beliau menggesa agar pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh diambil bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak terus berulang.
“Nyawa manusia tidak boleh dinilai dengan wang. Yang lebih penting ialah memastikan hukuman yang setimpal serta langkah pencegahan yang benar-benar berkesan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar kerajaan mempertimbangkan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah sebagai langkah pencegahan yang lebih efektif.

