Site icon SelangorToday

Pemuda AMANAH Gesa Pendakwaan Syariah Terhadap Penghinaan Sahabat Nabi

Hafiz Roslan

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa tindakan pendakwaan syariah wajar dipertimbangkan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap para sahabat Nabi Muhammad SAW dalam ceramah politik.

Pengarah Biro Syariah Pemuda AMANAH Nasional, Hafiz Roslan berkata, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan sensitiviti umat Islam serta berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.

Menurut beliau, tindakan tegas melalui saluran undang-undang syariah perlu dijadikan pengajaran keras agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Pemuda AMANAH memandang serius kenyataan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap para sahabat Nabi SAW, khususnya apabila disampaikan tanpa sandaran dan rujukan yang jelas.

“Justeru, tindakan pendakwaan syariah wajar dipertimbangkan sebagai pengajaran keras supaya perkara seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut mengingatkan bahawa para sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi awal Islam yang memainkan peranan besar dalam perkembangan dakwah dan kedudukan mereka dimuliakan dalam ajaran Islam.

Katanya, sebarang perbincangan berkaitan tokoh-tokoh Islam perlu dibuat secara beradab, berhati-hati dan berpandukan sumber yang sahih.

Dalam kenyataan sama, Pemuda AMANAH turut menggesa pihak yang terlibat tampil membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengambil tanggungjawab terhadap keterlanjuran yang berlaku.

Mereka turut menegaskan bahawa dan perlu bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

“Sekiranya berlaku keterlanjuran, ia perlu diperbetulkan segera melalui tindakan bertanggungjawab termasuk bertaubat kepada Allah SWT, membuat pembetulan secara terbuka serta memohon maaf kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan,” katanya.

Pemuda AMANAH turut menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama demi menjaga perpaduan dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Exit mobile version