SelangorToday

PEMUDA AMANAH KECAM KETUA PEMUDA PAS TAK HORMAT PENGAMPUNAN DIRAJA

Pemuda Parti AMANAH Negara, mengecam tindakan Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi yang mempersoalkan kes liwat yang didakwa terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu. Dalam muktamar sulungnya selaku Ketua Pemuda, Afnan seolah-olah membangkitkan status banduan liwat yang dialami oleh Anwar. Kata Pemuda AMANAH melalui Timbalan Ketuanya, Danial Al Rashid Harun semalam, tindakan Afnan adalah tidak wajar kerana ia jelas menunjukkan sikap tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu.

Tambah Danial yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Perdana Menteri telah pun menerima pengampunan diraja yang bukan sahaja membebaskannya daripada hukuman penjara, tetapi ia juga termasuk membersihkan nama Pengerusi Pakatan Harapan itu daripada segala tuduhan. Jelasnya lagi, itu merupakan hak prerogatif Yang Dipertuan Agong. Maka sepatutnya Pemuda PAS menghormati keputusan tersebut.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu turut berkata, tindakan mendesak pemimpin untuk meletakkan jawatan adalah satu perkara biasa, namun apabila menggunakan isu yang telah diselesaikan di peringkat tertinggi negara untuk menurunkan pemimpin termasuk menyentuh hak pengampunan diraja, ia jelas menunjukkan sikap tidak matang Pemuda PAS dan tidak menghormati institusi diraja. Katanya lagi, jika langkah pengampunan ini tidak dipersetujui oleh Afnan, sewajarnya Afna mengadap bekas Yang Dipertuan Agong untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Sepatutnya Afnan sebagai pemimpin muda daripada PAS menghargai proses undang-undang dan keputusan pengampunan diraja. – SelangorToday

Exit mobile version