 
                SELAYANG, 24 Ogos – Konvensyen Pemuda AMANAH Selangor 2025 hari ini meluluskan satu usul mendesak agar sayap Pemuda UMNO dan Pemuda DAP segera menghentikan perbalahan politik dan kembali bersatu demi kepentingan rakyat serta kestabilan negara.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham, yang membentangkan usul tersebut menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong mengenai keutamaan kestabilan politik wajar dijunjung bersama oleh semua pihak, khususnya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jangan kerana marahkan nyamuk, rumah dibakar. Perpecahan hanya akan merugikan rakyat dan mengancam masa depan anak muda,” katanya.
Ammar turut mengingatkan bahawa sejarah dunia telah membuktikan kesan buruk daripada ketidakstabilan politik, dengan merujuk kepada kemelut yang melanda Syria, Sudan dan Myanmar.

Beliau dalam pada itu menghargai jiwa besar para presiden parti-parti utama Kerajaan Perpaduan yang telah mengenepikan kepentingan peribadi demi kestabilan negara.
“Saya ulangi – Pemuda UMNO dan Pemuda DAP mesti berdamai sekarang. Rakyat menuntut politik matang, bukan politik dendam,” tegasnya lagi.
Usul ini kemudian diluluskan sebulat suara oleh perwakilan konvensyen yang berlangsung di Selayang.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            