Hati manakah tidak luluh melihat satu-satunya kenderaan mencari rezeki untuk keluarga musnah akibat banjir besar di Kota Raja tempoh hari. Tidak tahan dengan keluhan rakyat dan atas dasar rasa prihatin, peduli, serta khidmat kepada rakyat Pemuda AMANAH Selangor dan Pemuda AMANAH Kelantan telah menjalankan Program Baiki Motorsikal buat penduduk yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir yang melanda hujung tahun lalu. Program itu dijalankan melibatkan kawasan Kota Raja dimana kawasan tersebut merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir.
Pemuda AMANAH Kelantan yang diketuai oleh Sdr. Hazmi Hassan bersama anggota Pemuda AMANAH Kelantan memperuntukkan 50 biji motorsikal sahaja untuk dibaiki. Namun, memasuki hari kedua, mereka telah menerima pemohonan dari masyarakat sekitar tersebut sehingga mencecah 200 biji motorsikal.
Pemuda AMANAH Selangor selaku tuan rumah telah menyediakan tempat dan mengupah mekanik yang berkemahiran untuk membaiki motorsikal yang rosak. Turut hadir adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sdr. Hasbie Muda dan Ketua Pemuda AMANAH Kota Raja, Sdr. Nabil Norhalim.