KUALA LUMPUR, 13 Okt 2025 – Pemuda Amanah Nasional menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membuang sekolah keempat-empat pelajar disyaki terlibat dalam kes rogol seorang pelajar Tingkatan 3 di Melaka baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, YB Danial Al-Rashid Haron, berkata tindakan itu bukan sahaja wajar, tetapi perlu dijadikan teladan bahawa jenayah seksual di sekolah tidak boleh dipandang ringan.
“Kesalahan rogol adalah pelanggaran maruah dan nilai moral masyarakat. Ia menyalahi asas Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendesak kerajaan mengambil langkah tambahan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta keselamatan mangsa dan pelajar lain terus terjamin. Antara langkah yang dicadangkan termasuk:
- Menetapkan hukuman setimpal melalui proses undang-undang yang tegas, bukan sekadar tindakan disiplin sekolah.
- Mewujudkan garis panduan jelas supaya pelaku kesalahan seksual serius tidak diberi hak seperti menduduki peperiksaan atau kembali ke sekolah sehingga kes diselesaikan.
- Memberi sokongan pemulihan psikologi dan emosional kepada mangsa serta keluarga bagi membantu mereka pulih daripada trauma.
- Memasukkan pendidikan kesedaran seksual dan hormat diri dalam kurikulum sekolah bagi mendidik pelajar tentang batas hubungan dan maruah diri.
Danial menegaskan, kegagalan menangani kes jenayah seksual secara tegas akan memberi mesej salah bahawa perbuatan tersebut boleh dimaafkan atas nama prosedur atau sistem.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar kes buli pelajar yang masih belum menemui penyelesaian turut disegerakan bagi menegakkan hak keluarga mangsa.
“Pemuda Amanah menyokong penuh tindakan tegas kerajaan dan akan terus mendesak agar dasar dan langkah perlindungan segera dilaksanakan demi keselamatan, maruah dan masa depan generasi muda negara,” katanya.