
Kuala Lumpur, 9 Mei 2025 – Pemuda Amanah Nasional hari ini menyatakan penolakan tegas terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahu mengkaji semula had umur persaraan wajib kepada 65 tahun.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, YB Danial Al Rashid menegaskan bahawa cadangan tersebut bersifat tidak wajar dan bertentangan dengan realiti ekonomi serta sosial semasa negara. Menurut beliau, dasar tersebut berpotensi memburukkan lagi masalah pengangguran dalam kalangan belia dan menyekat kemasukan tenaga kerja muda ke dalam pasaran pekerjaan.
“Pemuda Amanah berpandangan bahawa kerajaan sepatutnya mengekalkan had persaraan pada usia 60 tahun, atau mempertimbangkan penurunan semula kepada 55 tahun seperti pernah dilaksanakan sebelum ini. Ini penting bagi memberi ruang kepada golongan muda untuk memasuki pasaran kerja serta mempercepatkan peraliran generasi tenaga kerja baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut merujuk kepada data yang menunjukkan lebih 60,000 graduan masih belum mendapat pekerjaan tetap pada tahun 2024, manakala lebih 70% pencarum baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berumur bawah 30 tahun memperoleh pendapatan bulanan di bawah RM3,000. Situasi ini, menurutnya, menggambarkan ketidakpadanan ketara antara keperluan pasaran kerja dan kebolehan tenaga muda negara.
“Anak muda kita semakin bersedia menyumbang kepada negara dengan pendidikan tinggi, celik teknologi, dan keterbukaan kepada perubahan. Namun, peluang pekerjaan masih sempit disebabkan kadar pengambilan pekerja baharu yang perlahan,” tambah beliau.

Pemuda Amanah juga menekankan bahawa proses persaraan seharusnya menjadi fasa kehidupan yang memberi penekanan kepada kesejahteraan, kesihatan mental dan penglibatan dalam komuniti. Memanjangkan umur persaraan, katanya, hanya akan menambah beban kepada warga emas yang sepatutnya menikmati kehidupan persaraan yang berkualiti dan bermakna.
“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang kini melepasi usia 75 tahun, adalah lebih wajar memberi ruang kepada golongan ini untuk menyumbang dalam bentuk sukarelawan, penjagaan keluarga atau aktiviti kemasyarakatan, bukan terus dibebani dengan kerja sepenuh masa,” jelasnya.
YB Danial turut menegaskan bahawa walaupun terdapat warga emas yang masih sihat dan produktif selepas usia 60 tahun, faktor keupayaan fizikal dan kognitif yang berkurangan perlu diberi perhatian, khususnya dalam sektor yang menuntut daya tahan tinggi seperti pembinaan, pengangkutan, keselamatan dan barisan hadapan.
Pemuda Amanah menyeru kerajaan supaya tidak terburu-buru mengubah dasar sedia ada tanpa kajian mendalam terhadap implikasi sosial dan ekonomi, termasuk kesannya terhadap pembangunan bakat muda dan kesejahteraan golongan pesara.
“Persaraan bukan soal tidak mampu bekerja, tetapi soal memberi peluang kepada generasi baharu untuk menyumbang dan pada masa sama menyediakan suasana persaraan yang bermaruah untuk mereka yang telah lama menabur bakti,” ujar beliau.