SelangorToday

Pemuda PAS Main Politik Ramalan, Serang Bajet Selangor Tanpa Fakta – Danial

SHAH ALAM, 13 Nov – Ketua Pemuda AMANAH Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, YB Danial Al-Rashid Haron menempelak kenyataan Pemuda PAS Selangor yang menuduh kerajaan negeri gagal mengagihkan kekayaan kepada rakyat, sambil menyifatkannya sebagai “serangan politik pra-matang berasaskan ramalan, bukan fakta.”

“Belanjawan Selangor 2026 pun belum dibentang, tapi Pemuda PAS sudah mengeluarkan ‘ramalan ahli nujum’. Macam mana boleh disimpulkan kerajaan gagal sedangkan dokumen rasmi belum pun dikemukakan kepada Dewan?” tegas Danial.

Beliau berkata, tindakan tergesa-gesa PAS mengulas bajet yang belum dibaca menunjukkan kegagalan pembangkang memahami asas disiplin demokrasi dan proses belanjawan negeri.
“Semak dan imbang mesti berasaskan dokumen sebenar, bukan fantasi politik,” katanya.

Dalam kenyataan balas rasmi itu, Danial turut membidas Pemuda PAS kerana memanipulasi data secara selektif untuk mencipta naratif kegagalan kerajaan negeri.

“Angka yang mereka petik dicabut daripada konteks, tidak mengambil kira faktor nasional dan hanya memilih komponen yang kelihatan negatif,” jelas beliau.
Sebagai contoh, isu penurunan kadar pertumbuhan dalam Indeks Kesejahteraan Sosial adalah fenomena nasional pasca-pandemik, bukan kelemahan Selangor semata-mata.

Tambahnya lagi, inflasi 1.8% di Selangor sebenarnya lebih rendah daripada beberapa negeri yang ditadbir PN, namun fakta itu sengaja disembunyikan oleh Pemuda PAS.

Danial turut menyindir empat “cadangan” yang dikemukakan oleh sayap pemuda parti itu — peruntukan keselamatan dan kesihatan, pemerkasaan kemahiran kerja, rumah mampu milik, dan pembangunan luar bandar — sebagai ulang siar dasar sedia ada kerajaan negeri.

“Kesemua itu sudah lama dilaksanakan melalui dasar-dasar seperti Iltizam Selangor Sihat, Iltizam Kerjaya Selangor, Skim Hijrah, Smart Rent, Smart Sewa Beli serta pelbagai projek infrastruktur luar bandar,” ujarnya.

Menurut beliau, jika PAS mahu berfungsi sebagai pembangkang yang matang, mereka sepatutnya membawa idea baharu, bukan mengitar semula dasar kerajaan yang sudah berjaya.

“Rakyat Selangor sudah muak dengan politik andaian. Hentikan ramalan kosong, tunggu fakta dibentangkan,” tegas Danial.

Exit mobile version