Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda PAS dengan mendakwa Kerajaan Negeri Selangor gagal menguruskan isu banjir di Selangor. Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata Kerajaan Negeri Selangor gagal menguruskan isu banjir memandangkan tahun ini sekali lagi,Selangor dilanda banjir. Namun Ir. Izham menjelaskan sebelum Pemuda PAS membuat dakwaan sedemikian, mereka perlu memahami isu yang berlaku terkait dengan banjir ini.
Antara yang perlu dilihat adalah perubahan jumlah taburan hujan di Selangor. Jumlah hujan yang berlaku pada waktu ini mengalami pertambahan yang mendadak akibat perubahan iklim. Tambahnya, sistem perparitan yang sedia ada di Selangor boleh menampung 80 hingga 100 milimeter hujan, namun jumlah taburan hujan telah meningkat menjadi antara 130 milimeter hingga 150 milimeter hujan. Jumlah taburan tersebut jauh untuk ditampung oleh sistem sedia ada di Selangor. Kerajaan Negeri bersedia untuk menaiktaraf sistem perparitan sedia ada, namun memakan masa yang lama merangkumi 5 tahun. Contohnya di Shah Alam sahaja, untuk menaik taraf sistem perparitan memerlukan kos sebanyak RM300 juta.
Pengerusi AMANAH Selangor itu menegaskan, projek tebatan banjir dan lain-lain khusus untuk mengatasi masalah banjir memakan masa yang lebih lama, oleh itu kenyataan Pemuda PAS Selangor itu dilihat tidak cerdik. Walaubagaimana pun, beliau menegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak berpeluk tubuh dalam isu ini dan telah dan sedangkan melakukan pelbagai inisiatif bagi menggelakkan risiko banjir dan impaknya kepada rakyat Selangor. – SelangorToday