 
                KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Hasbie Muda mencabar Pemuda PAS supaya berani berdebat secara terbuka, bukan sekadar lantang memainkan isu sentimen kaum dan agama tanpa asas hujah yang kukuh.
Beliau berkata, keberanian berhujah dan keupayaan mengemukakan fakta adalah tanda kematangan politik anak muda, bukannya sekadar mengapi-apikan emosi rakyat dengan isu sempit.
“Kalau mereka hanya lantang bersuara memainkan isu sentimen kaum dan agama, itu semua orang boleh buat. Tapi bila kita ajak berdebat, mereka tak berani,” tegasnya ketika berucap dalam slot Jangan Pajak Otak sempena Himpunan Satu Dekad AMANAH di Stadium Titiwangsa di sini, malam tadi.

Hasbie menegaskan bahawa peranan Pemuda AMANAH sebagai sebahagian daripada kerajaan tidak boleh disamakan dengan politik jalanan atau retorik populis. Sebaliknya, katanya, Pemuda AMANAH bertanggungjawab mempertahankan dasar-dasar kerajaan termasuk yang tidak popular, seperti penstrukturan semula subsidi bahan api.
“Kalau nak terkenal, senang kita hentam Perdana Menteri tiap minggu, atau cabar presiden parti sendiri. Tapi itu bukan cara kita. Sebagai parti kerajaan, kita mesti pertahankan dasar kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan membina kapasiti dan keupayaan berhujah dalam kalangan anak muda AMANAH melalui inisiatif seperti Akademi Tunas Negarawan, yang melatih generasi muda dengan kemahiran kepimpinan dan debat politik.
“Kita mahu dalam masa satu dua tahun, anak muda AMANAH ini mampu berdebat dengan Pemuda PAS, UMNO, Bersatu atau mana-mana pihak dengan hujah yang kemas dan mantap,” katanya.
Menurut Hasbie, proses membina kekuatan dalaman ini lebih penting berbanding sekadar menunjukkan keghairahan politik di jalanan tanpa sokongan akar umbi yang kukuh.
“Kalau kita berapi-api tapi tengok belakang tak ada orang, susah juga. Sebab itu saya tekankan proses bina kapasiti ini penting,” ujarnya.
Hasbie turut menyeru agar lebih ramai anak muda dan mahasiswa khususnya anak kepada ahli-ahli AMANAH didaftarkan sebagai ahli parti untuk memperkukuh barisan pelapis.

Katanya, AMANAH yang kini genap 10 tahun perlu mengambil peluang sebagai parti pemerintah untuk membina kekuatan organisasi dan melahirkan generasi pemimpin muda yang berilmu dan berprinsip.
“Ramai orang bandingkan kita dengan parti lain yang sudah 60 tahun. Tapi cuba tengok keadaan mereka waktu usia 10 tahun dahulu, mereka pun tidak punya sayap pemuda yang kuat.
Kita kini parti muda yang diberi peluang menjadi kerajaan. Gunakan kekuatan itu untuk membina dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Hasbie mengingatkan semangat perjuangan yang pernah dipesankan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa perjuangan Pemuda ialah tempat membina kapasiti kepimpinan dan ketahanan diri menghadapi cabaran politik.
“Ditolak, dikecam, difitnah itu semua asam garam dan air mandian perjuangan,” katanya menutup ucapan disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            