SelangorToday

PEMUDA PERPADUAN SERU RAKYAT TURUN BERSOLIDARITI BERSAMA GAZA JUMAAT INI

Pemuda Perpaduan yang merupakan sayap pemuda dari parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyatakan solidariti  bersama negara Palestin yang sedang berperang menuntut kemerdekaan tanah air mereka. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan atas nama Senator Hasbie Muda(AMANAH), Tuan Adam Adli(KEADILAN), Dr. Akmal Saleh(UMNO) dan Dr. Kelvin Yii(DAP)itu tadi, Pemuda Perpaduan berpendirian tegas mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik perang Palestin-Israel yang sedang berlaku. Tambahnya, Pemuda Perpaduan menggesa agar ianya dinokhtahkan segera setelah mengambil kira kesengsaraan dan kehilangan nyawa orang awam dari kedua-dua pihak.

Seterusnya Pemuda Perpaduan menegaskan pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel serta penindasan berterusan terhadap hal asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak disemak dan diadili di muka pengadilan sejak sekian lama yang memperlihatkan sikap berat sebelah badan antarabangsa. Pemuda Perpaduan menyeru masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia sedar akan peperangan yang berlarutan ini adalah jenayah kemanusiaan. Bantahan terbuka perlu dizahirkan dan menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Oleh itu, Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Pemuda Perpaduan dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan hari Jumaat, 13 Oktober 2023 di Perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat. Himpunan ini menjemput seluruh rakyat Malaysia bagi menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat. – SelangorToday

Exit mobile version