SelangorToday

PENA PUJANGGA : RUMAH DI TEPI BUKIT DAN SEBUAH SURAU DI HUTAN

Ini bukan cerita tentang rumah sangat tetapi cerita di sebalik rumah itu sendiri. Rumah kayu yang kebetulan pintu dan tingkap rumahnya ditutup. Kami hanya berdiri di luar rumah. Di keliling rumah itu pelbagai tumbuhan dan tanaman liar menghijau. Di belakang adalah tanah bukit yang ditanam pokok getah.

Pemilik rumah ini pernah tinggal di kampong saya – Sungai Lampam. Suatu ketika dahulu, dia ditangkap penjajah Inggeris di bawah akta darurat 1948 di kampong saya itu. Namun dia berjaya melepaskan diri dari Pusat Tahanan Tanjung Beruas, Melaka pada 1950 dan memulakan hidup sebagai gerila.

Dia menjadi orang yang dikehendaki dan diburu berpuluh tahun. Menjadi pelarian di tanah airnya sendiri. Kembali muncul di khalayak umum di Baling pada 1955 dalam rundingan damai. Dalam rakaman jurugambar, dia berdiri segak di sebelah Chin Peng. Tetapi rundingan itu gagal.

Pada 1989 di Hatyai, perjanjian damai termeteri dan dirakamkan gambarnya yang segak dengan memakai tali leher dan berkot sebelah Chin Peng. Itulah sosok yang bernama Rashid Maidin. Antara orang yang dikehendaki oleh pihak keselamatan. Rundingan perdamaian kali ini menemui titik-titik persetujuan bersama dan mereka memetrikan janji. Kemudian bersama pengikutnya keluar hutan untuk memulakan episod baru.

Selama lebih 40 tahun hidup dalam perburuan dan perang. Akhirnya damai yang diimpikan datang dengan selepas seribu kepayahan dan pengorbanan dilakukan. Setelah melalui proses dokumentasi dan birokrasi pentadbiran pelbagai pihak, akhirnya mereka keluar dari hutan.

Mereka diberikan beberapa kemudahan asas untuk memulakan hidup baru. Antaranya tanah, rumah dan sedikit wang sebagai permulaan. Sekarang mereka memasuki satu episod baru dalam era perjuangan selepas perdamaian.

Pagi itu, saya ke kampong Chulabhorn Patana 11 di Yaha di Patani. Jaraknya lebih kurang satu jam perjalanan menaiki kereta daripada bandar Yala. Kampong itu adalah penempatan khas yang disediakan oleh pihak Thailand kepada bekas-bekas gerila selepas perjanjian damai dibuat. Kunjungan ini adalah misi mencari kejernihan dan pencerahan dalam sejarah yang kelam dan terpendam.

Kedatangan kami disambut oleh abang Adam, penghulu kampong tersebut. Kami dijamu makan tengahari dengan masakan kampong. Kami dijamu makan tengahari di salah sebuah rumah bekas anggota gerila Rejimen 10. Kemudian kami ke rumah bapak Rashid Maidin yang tidak jauh dari situ.

Rumah di tepi bukit ini hanya sempat didiami oleh pemiliknya lebih kurang 15 tahun sebelum Rashid Madin meninggal dunia pada 2006. Rumah asasnya adalah sama dengan rumah-rumah lain di perkampungan yang mempunyai 60 buah rumah. Para penduduk bergotong royong membina rumah mereka sehingga semua memiliki sebuah rumah untuk memulakan hidup baru.

Kerajaan Thailand menyediakan bahan seperti kayu, bata-bata dan simen. Kemudian sedikit demi sedikit diperbesarkan untuk memudahkan dia menerima tetamu. Kini rumah itu dijaga oleh orang yang diberikan tanggungjawab menguruskan tanahnya seluas lima ekar yang ditanam getah, buah-buahan dan pelbagai jenis tanaman kampong.

Semasa dia masih sihat, rumah ini tidak pernah sunyi. Setiap hujung minggu ada rombongan samada dengan kereta atau bas yang datang. Datang bersilaturahim dan menyambung bicara tertangguh dan membuat penyelidikan kepada sejarah yang tenggelam.

Berada di sini setidak-tidak dapat menyelami lagi apa yang tersirat dalam ‘Keluarga Gerilya’ – Pramoedya, ‘Sandera’ – Arenawati, ‘Tulang-Tulang Berselarakan’ – Usman Awang dan lain-lain lagi.

Kemudian abang Adam beria-ia mengajak saya ke hutan simpanan yang di bawah jagaan Jabatan Hutan Thailand. Katanya ada pokok yang berusia 200 tahun dan pelbagai spesis tumbuhan hutan tropika.

Dalam perjalanan itu, kami lalui sebuah surau yang dibina secara gotong royong oleh mereka.  Surau yang memuatkan lebih kurang 60 jemaah diimarahkan oleh mereka yang dikatakan menganut fahaman Komunis. Bagaimana Komunis juga bersolat? Sedang sewaktu saya solat bersama, kiblat, takbir, rukuk dan sujud sama seperti yang kita lakukan.

Banyak kontradik yang ditemui di sini dengan apa yang ditanam dalam fikrah kita. Satu lagi kontradik ialah soal perkahwinan. Jika ada pasangan yang berlainan agama dan salah seorangnya Islam, maka yang bukan Islam kena masuk Islam sebelum berkahwin. Apa keperluan agama, jika tidak percaya kepada agama? Benarkah mereka memusnahkan agama mereka sendiri?

Ada sepasang suami isteri Cina kafir telah menyerahkan empat anak mereka kepada keluarga Muslim Thailand dan dibesarkan sebagai muslim. (Mereka tidak dibenarkan membesarkan anak mereka di dalam hutan atas faktor keselamatan). Pasangan Komunis itu pasrah untuk keluarga muslim membesarkan anak-anak mereka kerana keyakinan pada peribadi pasangan Muslim itu.

Pada 40 tahun dahulu, Rashid Maidin terpaksa tinggalkan isteri, anak dan keluarganya di kampong. Hilang tanpa berita namun dia terus menjadi buruan. Dia sempat memberi nama anaknya dengan nama Sudirman. Nama yang diambil bersempena nama jeneral rakyat Indonesia sewaktu mengetuai revolusi menentang Belanda.

Dalam meneruskan kehidupannya, dia berkahwin dengan salah seorang anggota gerila berbangsa Cina yang telah memeluk Islam. Perkahwinan dengan Selamah itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama Kamariah. Seperti anggota gerila lain juga, anak itu juga dipelihara oleh penduduk tempatan yang bersimpati dengan perjuangan mereka. 

Hanya selepas perdamaian, mereka bebas bertemu sebagai ahli keluarga tetapi hakikatnya mereka sudah kehilangan hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang hakiki.

Di dalam memoir beberapa bekas gerila itu, mereka menyatakan bahawa ini semua demi perjuangan mereka. Satu perjuangan yang sememangnya sukar dimengertikan jika hanya bergantung sumber sebelah pihak sahaja.

Di dalam terma perdamaian itu, menerima perlembagaan negara serta memberikan kesetiaan kepada Raja dan negara. Ada yang menyebut semua itu taktik Komunis untuk mengaburi mata. Kepimpinan utama mereka juga mengerjakan haji atas pembiayaan oleh pihak Malaysia dan mereka juga diberikan kesempatan menghadap Sultan Perak sebagai tetamu baginda.

Apakah juga baginda terperdaya dengan kelicikan Komunis itu? Banyak persoalan timbul dalam perjalanan ini. Siapa yang ingin menjawabnya? Betapa antara kita menjadi bahan perlecehan, tohmahan dan fitnah yang saling memusnahkan potensi bangsa yang bermaruah dan maju.

Dr. Muhaimin Sulam

Exit mobile version