Ini catatan sempena Hari Bapa yang agak baru berlalu. Ia mungkin bersifat agak peribadi tetapi yang lebih utama ini adalah soal saktinya manusia bernama bapa secara umum.
Sejujurnya saya rasa tidak pernah memberi ucapan Hari Bapa kepada bapa saya seperti generasi sekarang. Ia mungkin soal budaya dalam hidup kami dalam berkeluarga.
Sering bapa ceritakan pahit getir hidupnya sebagai santri yang mencari ilmu di pondok dan pesawah padi yang menampung kehidupan kami sekeluarga. Memiliki anak seramai tujuh orang dan membesarkan mereka bukanlah tugas mudah.
Oleh kerana saya anak sulong, sebahagian kesusahan hidup bapa dan mak dapat saya rasai. Ingatan yang terpahat sedari kecil seperti helaian-helaian kesedaran yang menginsafkan. Itulah yang dilalui oleh kelaziman pasangan suami isteri yang baru membina instituisi terkecil dalam masyarakat – keluarga.
Waktu bapa membesarkan kami adik beradik terutama dalam pertengahan tahun-tahun 60-an hingga pertengahan tahun 70 an, rumah kami tiada bekalan elektrik dan air paip. Ini kerana kemiskinan kami dan juga pembangunan yang lambat.
Waktu itu bapa hanya ada basikal dan jika balik kampong mak di Bagan Datoh, kami naik dua bas. Satu bas Sungai Manik ke pekan Telok Anson dan kemudian naik bas syarikat Lower Perak dari stesyen bas Telok Anson ke Bagan Datoh. Sampai di kampong Sungai Batang, kami menumpang naik basikal atau motorsikal ke rumah datuk yang terletak lebih kurang 2 km masuk ke baroh.
Kemudian bapa beli motorsikal Yamaha pada 1973. Bila balik kampong, saya membonceng. Manakala Mak dan adik-adik saya naik bas. Apabila bapa senang sedikit terutama keadaan ekonominya, bapa beli kereta terpakai Opel Kadett. Kenangan dengan kereta itu tidak banyak. Mungkin selalu rosak.
Kemudian bapa beli kereta terpakai, Fiat 124. Agak lama juga bapa guna kereta Fiat. Kemudian bapa beri kereta itu kepada saya pada 1990. Itulah kereta pertama saya sesudah berkahwin.
Bapa selalu ceritakan kesukaran hidupnya sebagai santri di pondok Sungai Batang, Bagan Datoh. Menampung hidup dengan mengambil upah menebas, mengait kelapa dan segala macam kerja kampong termasuklah bersawah padi apabila di kampong bapa sendiri di Sungai Manik.
Kesukaran hidup akan melahirkan menjadi manusia yang cekal, teguh dan berkualiti. Pendidikan dan pengalaman hidup membentuk watak, sikap dan falsafah hidup. Sebaliknya kesenangan hidup akan melahirkan manusia yang lemah, malas dan tidak mandiri. Jika diurus dengan baik. Setiap kesukaran, pasti ada kemudahannya.
Bapa saya telah kembali kepada Sang Penciptannya pada tahun 2008. Buku manuskrip biografi bapa sudah siap beberapa bulan lalu. Asalnya hendak berada di pasaran semasa Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur. Mungkin sebulan dua saya hantar kepada penerbit.
Saya mula mencatatnya sejak beberapa tahun lalu. Setiap kali merindui, saya tulis apa sahaja tentang bapa. Ketika PKP, seperti kesempatan untuk saya menyusun kembali semua catatan itu hingga menjadi sebuah manuskrip untuk sebuah buku.
Dalam proses menulis itu, saya menyedari sesuatu yang hilang dalam hidup ini. Iaitu mutiara kata dan pesanan berupa nasihat, pandangan, luahan dan teguran dari bapa. Hargailah setiap kata-kata daripada bapa yang masih ada. Sudah tiada, hanya kenangan yang mampu mengingatkan kita.
Ketika saya telah berada di peringkat sekolah menengah, tidak pernah bapa marah atau meninggikan suara kepada saya dalam menegur kesalahan. Dari riak wajahnya, saya memahami kesal dan marahnya.
Sebagai anak muda, saya ada keinginan dan kebebasan. Banyak juga perkara antara kami berbeza pandangan. Mungkin kerana kami berbeza zaman, latar belakang pendidikan dan sosial. Setiap anak dibesarkan dengan keperluan zamannya.
Jika ada sesuatu yang bertentangan, biasanya saya diam, mengalah atau mengelakkan menyentuh hal itu. Daripada situlah, sentuhan jiwa seorang bapa akan berinteraksi dengan jiwa seorang anak.
Bahasa jiwa seorang bapa lebih bertenaga menyentuh jiwa anak. Ini kerana Tuhan Yang Maha Berkuasa. Hanya kita sebagai anak memberi keyakinan bahawa seorang bapa tidak akan membiarkan anak-anaknya sakit, derita atau tercari-cari dalam hidupnya.
Meski bapa itu sudah tiada lagi di dunia ini. Seluruh kenangan dan sejarah seorang bapa akan tetap bersama dengan kita selama-lamanya. Sebab itu, saya menulis buku tentang bapa.
Setiap kali bersembahyag, adalah detik untuk kita doakan kesejahteraan kepada ibu dan bapa.
Sewaktu majlis penganugerahan bapa sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Perak pada 2006 oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Nazrin Shah, bapa diberikan kesempatan memberi syarahan di dalam majlis itu. Tentu sahaja, syarahan itu bukan sahaja mempunyai kandungan bermakna tetapi mempunyai laras bahasa dan protokol rasmi.
Biasanya bapa minta saya sediakan teks ucapan, khutbah atau syarahan. Tetapi ketika itu, saya berada di UK. Kemungkinan besar bapa yang tulis sendiri dengan panduan daripada pihak berkuasa agama.
Antara salah satu ucapannya, bapa memetik maksud sebuah hadis, ‘pemberian terbaik seorang bapa kepada anak adalah akhlak’. Jika dalam majlis umum, ceramah bapa lebih berkisar soal pendidikan, akhlak dan adab bermasyarakat. Jika dalam pengajian di masjid, bapa buka kitab tafsir (Tafsir Ar Rahman), hadis (Mustika Hadis) dan akhlak (Nasihat Agama dan Wasiat Iman).
Bapa juga mengajar kitab turas dan kitab Jawa Pegon. Sayangnya saya jarang menadah di hadapannya.
Pernah bapa datang melawat rumah sewa kami semasa belajar di Universiti Malaya. Di mana tempat anak-anaknya belajar, bapa pasti menziarahi kami. Bapa ingin tahu siapa rakan-rakan serumah atau seasrama. Kerana dengan mengenali rakan-rakan anaknya, sekali gus dapat bapa…,,
Pada kesempatan itu, bapa beri tazkirah kepada kami apabila melihat kawan-kawan saya duduk keliling bapa. Sekaligus sebenarnya bapa ingin memberi pesanan kepada saya sendiri. Setelah selesai memberi tazkirah, bapa dan mak tinggalkan bekalan makanan buat kami. Hari itu kami dapat jamuan rohani dan jasmani.
Kini, sudah hampir 15 tahun bapa menemui Rabbul Jalil tetapi semangat dan roh bapa terus hidup dalam diri ini. Itulah saktinya seorang bapa yang telah tiada.
Dr. Muhaimin Sulam