
Situasi di Gaza terus menjadi isu kemanusiaan yang memerlukan perhatian dunia. Konflik yang berpanjangan telah menyebabkan kemusnahan yang amat besar, termasuk hampir 47,000 orang kehilangan nyawa, 100,000 cedera dan kemusnahan infrastruktur, dan penderitaan rakyat yang tidak berdosa. Dalam perkembangan terkini, beberapa usaha telah dilakukan untuk mencapai gencatan senjata bagi menghentikan keganasan yang meragut nyawa dan menghancurkan kehidupan rakyat Gaza.
Namun begitu, gencatan senjata bukanlah penyelesaian akhir. Ia hanya memberi ruang untuk perbincangan lebih mendalam bagi mencapai keamanan yang kekal. Rakyat Gaza memerlukan sokongan yang berterusan untuk membina semula kehidupan mereka. Selain bantuan makanan, perubatan, dan tempat tinggal, mereka juga memerlukan peluang pendidikan, pekerjaan, dan kestabilan untuk masa depan yang lebih baik.

Pergerakan HAMAS dan kumpulan pejuang Islam yg lain serta Pihak Berkuasa Palestin mestilah bersatu hati dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan mengenepikan sebarang perbezaan demi kemaslahatan rakyat Gaza dan Tebing Barat khasnya pembebasan Masjid Al- Quds yang suci.
Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk memainkan peranan dalam membantu mereka. Sokongan kita boleh diberikan dalam pelbagai bentuk:
- Berterusan: Doa adalah senjata umat Islam. Kita harus terus berdoa agar keamanan kembali ke bumi Gaza dan keadilan ditegakkan.
- Bantuan Kewangan: Sumbangan kewangan kepada badan-badan amal yang sah dan aktif membantu rakyat Gaza amat diperlukan untuk meringankan beban mereka.
- Kesedaran dan Advokasi: Terus Sebarkan maklumat tentang isu Gaza kepada masyarakat sekeliling agar lebih ramai yang sedar dan turut membantu.
- Tekanan Diplomatik: Sokongan kepada kerajaan Malaysia untuk terus mendesak komuniti antarabangsa melalui platform seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan Asean supaya konflik ini dihentikan dengan segera dan genosid diberhentikan serta merta oleh Rejim
Israel. - Menyokong penuh dasar Malaysia dan pendirian tegas YAB Perdana Menteri Malaysia DS Anwar Ibrahim sekaligus Sebagai Pengerusi Asean dalam isu Palestin khasnya rakyat Gaza terus diberi sokongan padu oleh seluruh rakyat Malaysia dan dunia.

Gaza memerlukan solidariti kita sebagai saudara seagama dan sesama manusia. Semangat kasih sayang dan keprihatinan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia membuktikan bahawa kita mampu membawa perubahan, walaupun kecil. Moga-moga usaha kecil ini menjadi batu asas kepada keamanan yang lebih besar.
Kemanusiaan adalah tanggungjawab kita bersama. Ayuh, teruskan berdoa, membantu, dan bersuara untuk Gaza.
Hj Shamsul Ma’arif bin Ismail