(1) Kita telah meninggalkan tahun 2021 dengan banyak kenangan pahit dan manis. Begitu juga dengan sektor pendidikan negara. Banyak kisah-kisah pahit dan manis pendidikan sepanjang setahun yang lalu.
(2) Sebagai permulaan, ada beberapa pencapaian yang baik telah berlaku dalam sistem pendidikan negara sepanjang tahun 2021.
(3) Pertama, yang paling mendapat perhatian masyarakat ialah keupayaan KPM menyelesaikan isu lambakan berterusan siswazah pendidikan dengan mengujudkan 18,702 jawatan baru guru siswazah. Satu berita gembira buat para siswazah yang telah lama menunggu.
(4) Kedua, usaha KPM untuk menyelesaikan isu guru dukalara yang telah berpanjangan sejak sekian lama. Bagi tahun 2021, lebih banyak permohonan guru untuk berpindah telah diluluskan oleh KPM. Usaha ini tentunya memberikan kegembiraan kepada keluarga yang tinggal berjauhan sekian lama.
(5) Bagaimanapun, tahun 2021 juga mencatatkan beberapa keadaan yang kurang memberangsangkan kepada sektor pendidikan negara.
(6) Pertamanya, pengakuan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pendidikan sendiri di Dewan Rakyat bahawa pencapaian pelaksanaan PdPR sejak 2020 adalah sederhana sahaja.
(7) Hakikatnya, akibat jumlah hari persekolahan yang ditutup begitu panjang sepanjang tahun 2021, kita tahu ramai murid yang tidak hadir PdPR sepanjang tahun 2020 dan 2021 khususnya murid-murid di kawasan pedalaman, luar bandar atau murid-murid dari keluarga miskin di bandar. Puncanya apabila keputusan KPM menggunakan PdP online sebagai medium utama PdPR menyebabkan ramai murid miskin dan pedalaman tidak berupaya meneruskan pembelajaran mereka secara PdPR.
(8) Selain isu PdPR yang kurang berjaya diuruskan dengan baik, beberapa isu lain seperti isu beg sekolah berat, isu buli dan isu beban tugas guru yang berlebihan juga masih gagal diselesaikan sepanjang tahun 2021.
(9) Program Sarapan Pagi yang tidak diteruskan juga adalah satu kerugian pada anak-anak yang memerlukan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat secara berterusan. Apa pun, kita masih bersyukur dengan RMT yang dikekalkan hanya untuk murid-murid miskin.
(10) Isu buli juga nampaknya masih belum berjaya dikekang dan terus berlaku. Malah, kejadian buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar baru-baru ini membuka lebih banyak perdebatan tentang peranan ibubapa dan had kuasa guru seperti merotan di dalam menlaksanakan peraturan disiplin kepada murid-murid.
(11) Di dalam bajet tahun 2022, KPM juga telah diberikan peruntukan paling besar berbanding kementerian lain sebanyak RM52.6 billion. Sebahagian besar peruntukan ini adalah untuk belanja mengurus sektor pendidikan. Hanya RM746 juta sahaja disediakan untuk menaik taraf sekolah daif di seluruh negara. Jumlah ini tentu sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu sekolah daif yang menjadi salah satu punca utama berlaku jurang pendidikan di kalangan murid-murid. Bajet yang lebih besar sangat diperlukan untuk menyelesaikan isu sekolah daif di pedalaman dan isu sekolah sesak di bandar besar yang semakin meruncing.
(12) Memasuki tahun 2022, sektor pendidikan akan berhadapan dengan isu keciciran murid-murid akibat pandemik Covid19. Ramai anak-anak khususnya di peringkat tahun satu, tahun dua dan tahap tiga sekolah rendah berhadapan dengan isu keciciran 3M. Sesuatu yang harus diberikan perhatian serius. Kegagalan menguruskan keciciran 3M akan menyebabkan anak-anak ini akan berhadapan dengan masalah pembelajaran pada masa depan.
(13) Kita perlukan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi memastikan masalah keciciran pendidikan dapat dipantau dan diselesaikan secepatnya.
(14) Begitu juga dengan pembangunan pengajaran hibrid berasaskan Internet dan teknologi maklumat. Pelancaran jalur lebar 5G adalah satu cabaran besar kepada sistem pendidikan negara khususnya dalam memastikan jurang pendidikan anak-anak di luar bandar dan kawasan bandar dirapatkan.
(15) Mengambil pengalaman 20 bulan pandemik Covid19 dan juga bencana banjir yang sedang berlaku sekarang, KPM sepatutnya mula mengujudkan pasukan khas meneliti bentuk dan model pendidikan masa depan negara dan juga menubuhkan sebuah unit khas berkepakaran berkaitan pengurusan pendidikan negara ketika krisis melanda negara.
(16) Semoga tahun 2022 sektor pendidikan akan menjadi lebih baik berbanding tahun 2021 yang penuh dengan cabaran.
(17) Berapakah markah yang saya akan berikan untuk pencapaian sistem pendidikan bagi tahun 2021?
Selamat Tahun Baru 2022…
-Dipetik daripada tulisan Pakar Pendidikan, Dr. Anuar Ahmad (Universiti Kebangsaan Malaysia)