Seorang penjual pisang goreng dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan di Kuala Selangor, dekat sini minggu lepas.
Mohamed Shariza Othman, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan, masing-masing berusia enam dan lapan tahun dari penjaganya yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram di Kuala Selangor pada 6.30 petang, 19 Julai lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu telah melarikan dua kanak-kanak perempuan yang ketika itu sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
Dia mengajak kedua-dua kanak-kanak itu menemaninya untuk menghantar surat, dan turut memberikan RM50 sebagai upah.
Kanak-kanak itu telah mengikutnya ke kedai runcit, sebelum dia kemudiannya kemudiannya mengajak mereka berjalan-jalan sekitar Jeram serta singgah di rumahnya, sebelum kanak-kanak itu dihantar kembali ke pada hari yang sama.
Terdahulu peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhd Muqri Mohd Khairi yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya melakukan tindakan itu kerana menginginkan anak perempuan berikutan ketika ini dia hanya mempunyai dua anak lelaki.
Muhd Muqri berkata, anak guamnya juga telah insaf atas tindakannya itu dan ia merupakan kesalahan pertama dilakukannya.
“Tertuduh merupakan penyara tunggal keluarganya dan isterinya merupakan seorang suri rumah. Jika hukuman pemenjaraan dikenakan, mohon ia bermula dari tarikh ditangkap dan berjalan serentak. Mohon mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh yang rela hati menghantar semula kanak-kanak itu kepada penjaga dan keluarga mereka,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira kepentingan awam.
“Berlaku penculikan dan bukan seorang tetapi dua mangsa. Kes penculikan semakin meningkat dan boleh mengancam nyawa mangsa. Mohon (hukuman) penjara berjalan berasingan,” katanya. -BERNAMA