SelangorToday

PENDEKATAN ‘KERAJAAN MENYELURUH’ DIGUNAKAN TANGANI ISU PENDIDIKAN SEKS

Pendidikan kesihatan reproduktif dan literasi seksual dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, tegas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, usaha mendidik masyarakat tentang isu kesihatan seksual tidak boleh digalas sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, sebaliknya memerlukan penggemblengan tenaga melalui pendekatan whole-of-government.

“Bukan sahaja tanggungjawab KKM, tetapi juga Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Belia dan Sukan.
KKM sendiri akan mengambil pendekatan whole-of-government bagi memastikan pendidikan dari sudut kesihatan reproduktif dan aspek penerangan menyeluruh dilaksanakan secara bersepadu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mini Karnival Jom Sihat @ Kota Lama di PPR Kota Bharu, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan kolektif itu penting agar usaha meningkatkan kesedaran, nilai kawalan diri, dan peranan moral dapat diperluaskan ke seluruh negara, bukan hanya tertumpu di negeri tertentu seperti Kelantan.

“Saya tidak menyatakan bahawa KKM akan menjadi agensi peneraju tunggal. Sebaliknya, kami mahu isu ini ditangani secara bersama dan kolektif. KKM bersedia menggembleng tenaga serta pakar-pakar dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif,” katanya.

Dr Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM akan terus memberikan kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia dan KPWKM melalui Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) bagi membantu mangsa jenayah seksual bawah umur.

Kenyataan beliau hadir susulan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai peningkatan ketara kes rogol dan sumbang mahram di negeri itu, yang melonjak 22.3 peratus pada tahun 2024 berbanding 2023, melibatkan remaja seawal usia 10 tahun.

“Kes sedemikian akan dirujuk di bawah OSCC dan akan memudahkan agensi lain untuk turut sama memainkan peranan. Pihak kami akan terus bekerjasama agar insiden sebegini tidak terus berulang di seluruh negara,” tambahnya.

— BERNAMA

Exit mobile version