SHAH ALAM, 26 Jun 2025 – Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid Haron menyifatkan Tan Sri Annuar Musa lebih layak untuk menerajui PAS selepas bekas pemimpin UMNO itu secara terbuka menolak fahaman perkauman sempit yang semakin menjadi budaya dalam parti tersebut.
Danial berkata kenyataan Annuar semalam yang mengecam retorik kaum dalam kalangan pimpinan PAS wajar dijadikan titik perubahan untuk membawa semula PAS ke landasan Islam yang sebenar.

“Dalam keadaan PAS sejak 2015 terus hanyut dengan fahaman perkauman sempit, keberanian Annuar Musa yang baharu beberapa tahun menyertai PAS untuk menongkah arus adalah sesuatu yang luar biasa. Pendirian ini menjadikannya lebih layak memimpin PAS berbanding kepimpinan sedia ada,” tegas Danial.
Beliau menempelak PAS kerana gagal menunjukkan kepimpinan Islam yang inklusif dan adil apabila sentiasa mengaitkan kelayakan seseorang pemimpin dengan kaum dan agama semata-mata, walaupun calon tersebut jelas memiliki merit dan kebolehan.
Kenyataan Annuar dilihat sebagai reaksi terhadap hantaran media sosial oleh Zaharuddin Muhammad, bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Subang yang juga menantu kepada Presiden PAS, yang dilihat memperlekeh pelantikan bukan Melayu dalam jawatan tinggi ketenteraan, merujuk kepada pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral ATM.
“Annuar dengan jelas menolak persepsi sempit itu, malah kenyataannya seiring dengan sentimen masyarakat yang sudah muak dengan politik perkauman. Pelantikan Datuk Johnny tidak menyalahi undang-undang dan ia melalui proses sah – malah bukan melibatkan institusi agama,” ujar Danial.
Tambah beliau, PAS kini dilihat tidak lagi layak untuk memimpin Malaysia kerana terlalu terikat dengan pendekatan sempit yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan realiti masyarakat majmuk negara ini.
“Kalau PAS benar mahu perjuangkan Islam, mereka sepatutnya tahu bahawa keadilan dan merit itu nilai utama dalam syariat. PAS gagal mempamerkan kesediaan untuk jadi parti nasional yang inklusif dan matang,” katanya lagi.
Danial turut menyeru rakyat Malaysia agar tidak terpedaya dengan politik identiti dan terus mendukung perpaduan nasional yang berteraskan keadilan, merit dan patriotisme tanpa mengira kaum serta agama.