Ketua Jabatan ANIS, Tuan Danial Al-Rashid Harun berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk memperkasakan sektor pendidikan khas ini dapat diperkasakan pada masa akan datang. Danial mengulas ketika Majlis Penandatanganan jalinan kerjasama antara Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Kerjasama itu berfokus untuk memperkukuhkan pendidikan kanak-kanak istimewa di Selangor. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud.
Mengulas lanjut, Danial yang juga Ketua Pemuda AMANAH Selangor berkata, walaupun Jabatan Pendidikan Negeri berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia, namun kita bersedia menjalinkan kerjasama demi memberikan manfaat kepada rakyat. Danial juga menambah beliau cukup yakin dengan keterbukaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Buat masa ini, kepentingan rakyat harus didahulukan baik kerajaan negeri mahupun pusat. Ia juga selaras dengan peruntukan yang diteapkan dalam perlembagaan dimana usahasama antara kerajaan negeri dan pusat boleh diwujudkan. Maka sektor pendidikan khas mungkin menjadi perintis jalan kerjasama lain demi kelangsungan hidup rakyat Selangor.
Salah satu program yang terdapat di dalam jalinan Kerjasama ini ialah Seminar Cikgu ANIS, sebuah program berbentuk pembangunan guru di mana para guru akan didedahkan dengan maklumat serta pendekatan baharu, sesuai dengan cabaran dan tahap murid yang dihadapi di sekolah. Umum mengetahui cabaran bagi mendidik serta meningkatkan tahap anak istimewa ini adalah suatu tugas berat yang ditanggung oleh para guru. Maka Kerajaan Negeri melalui YAWAS mengambil inisiatif untuk membantu para guru di lapangan dengan memperkemas pengetahuan serta kemahiran sedia ada.