SelangorToday

PENDUDUK FLAT PKNS TAMAN KERAMAT PERMAI RISAU TANAH MENDAP TERUS BERLAKU

Kejadian tanah mendap yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini menyebabkan lebih 2,000 penduduk di Flat PKNS Taman Keramat Permai di sini, tidak lena tidur kerana risau dengan keselamatan mereka, lebih-lebih lagi apabila hujan lebat.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat berkenaan Sulaiman Sapuan, berkata kejadian terbaru berlaku pada 20 Ogos lalu apabila koridor tingkat bawah di bahagian belakang sebuah unit rumah di blok D flat berkenaan, mendap sepanjang hampir dua meter.Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melaksanakan langkah penyelesaian untuk jangka masa panjang, antaranya membuat kajian struktur tanah bagi mengenal pasti isu dan risiko dihadapi penduduk di situ.

“Aduan kepada MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) mengenai kejadian terbaru itu sudah dibuat pada 22 Ogos lalu dan wakil COB (Bahagian Pesuruhjaya Bangunan) MPAJ datang Jumaat lalu, namun mengatakan ia tidak terlalu berbahaya serta perlu diperbaiki sendiri oleh JMB.

“JMB boleh membaiki sendiri kerosakan akibat tanah mendap itu, namun apa yang lebih merisaukan kami ialah struktur tanah bahagian bawah bangunan ini yang tidak diketahui menyebabkan ada kemungkinan kejadian berulang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.Beliau berkata, selain blok D, masalah struktur tanah di flat yang terletak di Jalan AU1B/1, dibina kira-kira 30 tahun lalu itu, turut dikesan di blok E, F, J dan M sejak beberapa bulan lalu dan masalah paling serius berlaku sekitar 1990-an apabila blok C terpaksa diruntuhkan sepenuhnya sebelum dibina semula di tapak berdekatan.

Menceritakan kejadian tanah mendap pada 20 Ogos lalu, Mohd Zaini Mohd Zaidin, 62, berkata isterinya sedang duduk di atas kerusi sambil mengecat jeriji besi di belakang rumah mereka di tingkat bawah flat itu, apabila tanah di situ tiba-tiba mendap.

Kejadian itu menyebabkan isterinya terjatuh daripada kerusi namun tidak mengalami kecederaan.

“Saya amat berharap tindakan dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan mendapan tanah ini tidak bertambah besar dan membahayakan keselamatan penduduk di sini yang turut terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Seorang lagi penduduk Rokiah Jais, 65, pula berkata, dia menjadi trauma setiap kali hujan lebat selepas berlakunya tanah mendap sedalam dua meter di longkang di sebelah rumahnya di blok J, lima bulan lalu.

“Semalam hujan lebat jam3 pagi. Saya takut dan saya berdoa supaya tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini kerana lubang itu terletak betul-betul di tepi rumah saya yang terletak di tingkat bawah,” katanya.

Pada April 2019, insiden tanah mendap dilaporkan menyebabkan keretakan Blok F, sehingga seramai 222 penghuninya terpaksa dipindahkan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. – BERNAMA

Exit mobile version