Siapa tidak suka dengan taman? Ia sinonim dengan simbol keindahan dunia yang sedap mata memandang, segar persekitarannya dan memberi ketenangan kepada pengunjungnya.

Pertama kali saya menjejaki bumi Australia dan New Zealand adalah pada musim panas tahun 2014. Perjalanan itu unik dan istimewa berbanding ‘travel’ yang pernah kami sekeluarga lalui melalui pakej-pakej perlancongan ke destinasi terkenal di seluruh dunia. Ada pro dan kontra yang memberikan pengalaman berbeza.

Lanjutan dari ‘travel 2014’, saya kembali menjejakkan kaki ke kedua-dua negara tersebut bersama 2 orang teman dengan konsep berbeza pada September 2016. Kali ini, objektif utama adalah untuk mempelajari tentang budaya penduduk tempatan terutama dalam bidang pengurusan alam sekitar seperti sungai dan taman. Perjalanan pada kali ini direka supaya laluan kami dapat merentasi beberapa sungai dan merasai sendiri kualiti sungai mereka. Begitulah juga dengan taman rekreasi dan pejabat majlis perbandaran.

Apa yang kami boleh simpulkan sebagai refleksi ialah:

1) Budaya dan kesedaran menjaga kebersihan yang tinggi ada pada mereka.

2) Sepanjang singgahan kami di beberapa buah sungai, kami tak jumpa satu sungai yang kotor. Sungai yang menjadi sebahagian lanskap ‘Botanic Garden’ di Christchurch cukup bersih tanpa apa-apa sampah sarap terapung.

Apa yang membezakan mereka dan kita? Pada pandangan saya, ia bermula dari pendidikan asas seperti pelajaran sivik dan pendidikan informal keluarga.

Ya, pendidikan atau pelajaran sivik yang diterapkan dari bangku sekolah tentang penjagaan alam sekitar, kebersihan dan kepentingannya pada masyarakat berjaya mendidik mereka.

Pengalaman kejadian di depan mata saya sendiri ialah melihat bagaimana sampah yang berada di ruang jalanan ‘Central Market’ telah dikutip oleh pelancong luar untuk dimasukkan ke dalam tong sampah berdekatan, sedangkan sampah itu telah telah terbiar tanpa ada sesiapa yang proaktif meletakkannya di tempat sewajarnya. Orang kita yang ramai berada di situ pun sekadar melihat tanpa tindakan sewajarnya.

Tambah ironi apabila sebahagian orang kita memiliki sikap lebih suka mengambil jalan mudah atau ‘take for granted’ dengan mencampakkan sampah dari kereta ke luar. Mungkin prinsipnya ialah ‘janji kereta aku bersih’.  Begitu juga dengan sikap membuang sampah dalam sungai dan meninggalkan sampah-sarap mereka di tempat-tempat menarik perlancongan seperti air terjun, sungai, dan taman tanpa rasa bersalah.

Ini semua menggambarkan bagaimana tahap kepedulian dan kesedaran kita. Malah, kadangkala kita terfikir, adakah sistem pembelajaran sivik pada anak bangsa kita gagal? Atau bagaimana sepatutnya?

Sebagai refleksi, jika ia gagal, mengapakah boleh terjadi begitu? Apakah punca, dan bagaimana penyelesaian yang terbaik boleh dilakukan.

Ia menjadi satu kerisauan jangka panjang jika ia menjadi ‘precedence’ dan legasi budaya kepada generasi seterusnya. Sudah pasti kita tidak mahu meninggalkan legasi sampah kepada generasi akan datang. Apatah lagi dalam keadaan tanahair yang kita cintai ini telah merdeka 64 tahun. Jika bukan kita yang mencintai tanahair ini, siapa lagi? Jika kita boleh berbangga dengan tahap kebersihan yang tinggi pada sungai dan taman-taman di luar negara, mengapa tidak kita lebih sayang dan boleh berbangga dengan hak yang ada di tanahair sendiri? Jom, kita bina kesedaran ini.

Discover more from SelangorToday

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading